Suami kerat mayat isteri didakwa membunuh


Pada 17 Februari polis membuka kertas siasatan bagi dakwaan membunuh terhadap seorang lelaki yang mengaku membunuh isterinya selain tindakan memotong dan menyembunyikan mayat mangsa. – Gambar AFP, 26 Februari, 2023.

SEORANG lelaki yang mengaku membunuh isterinya yang mayatnya ditemui di sebuah taman di Paris didakwa semalam atas tuduhan membunuh, kata peguam dan pendakwa rayanya.

Lelaki dari Montreuil itu menafikan dia mempunyai niat untuk membunuh isterinya, kata peguamnya Dominique Beyreuther-Minkov kepada pemberita.

Ditahan polis sejak pagi Khamis, lelaki itu melaporkan kehilangan isterinya kepada polis pada 3 Februari, kata peguam itu.

Tertuduh menyiarkan tentang kehilangan isterinya di media sosial sejak 31 Januari.

Saluran berita Perancis BFMTV melaporkan minggu lalu polis curiga apabila mendapati cerita yang dikongsikan suspek tidak konsisten.

Pada 13 Februari, pekerja taman menemui beg plastik yang mengandungi bahagian bawah anggota badan dan pehanya di taman Buttes-Chaumont di timur laut Paris.

Operasi pencarian seterusnya menemui anggota badan wanita berkenaan termasuk kepalanya yang kemudian dikenal pasti menggunakan cap jari.

Pada 17 Februari polis kemudiannya membuka kertas siasatan bagi dakwaan membunuh selain tindakan memotong dan menyembunyikan mayat berkenaan.

Tetapi berdasarkan kenyataan lelaki itu, penyiasat dalam kes itu menilai semula dan percaya perbuatan itu tidak dirancang.

“Anak guam saya yang dalam kekecewaan menjelaskan secara manusiawi sebanyak yang boleh,” kata Beyreuther-Minkov sambil menambah pasangan itu berkahwin selama 26 tahun dan mempunyai tiga anak.

“Semua keluarga terkejut dan dalam keadaan bingung sepenuhnya,” kata Antoine Ory, peguam untuk keluarga dan anak-anak mangsa kepada AFP.

Menurut data Kementerian Dalam Negeri bilangan kes pembunuhan wanita di Perancis meningkat sebanyak 20 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya dengan 122 orang wanita dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan. – AFP, 26 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen