6 cedera ditikam di stesen kereta api Paris


Enam cedera ringan apabila ditikam oleh seorang lelaki di Gare du Nord, stesen kereta api paling sibuk di dunia pada Rabu, mengakibatkan stesen itu tergendala pada pagi kejadian. – Gambar AFP, 11 Januari, 2023.

ENAM orang cedera ringan pada Rabu selepas ditikam seorang lelaki di stesen Gare du Nord di Paris, kata polis dan pendakwa raya.

Lelaki itu ditahan polis di tempat kejadian tersebut yang merupakan hab komuter tersibuk yang juga berfungsi sebagai tempat berlepas kereta api ke utara Perancis, London dan Eropah utara.

Gare du Nord ialah salah satu stesen kereta api paling sibuk di dunia dengan 700,000 pengembara setiap hari.

Penangkapan dibuat selepas pihak berkuasa melepaskan tembakan dan mencederakan suspek, menurut sumber polis yang tidak mahu namanya didedahkan.

Polis menganggap kejadian tikaman itu sebagai satu perbuatan jenayah, bukan serangan pengganas, menurut sumber yang fasih dengan kes itu.

Penyerang mengalami kecederaan di dada akibat terkena beberapa das tembakan, tambah sumber itu.

Seorang pegawai polis yang tidak bertugas merupakan yang pertama bertindak terhadap penyerang itu, kata media Le Parisien.

“Seorang individu mencederakan beberapa orang pagi ini di Gare du Nord,” kata Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin di Twitter.

“Dia berjaya dineutralkan dengan cepat. Terima kasih kepada pihak polis atas respons yang berkesan dan berani”.

Insiden itu menyebabkan operasi stesen itu terganggu, menurut SNCF, badan yang mengurus stesen berkenaan.

Polis mengepung balai itu, dan memasang langsir putih besar di sekeliling tempat kejadian.

Motif penyerang belum jelas, setakat ini. Perancis kekal dalam keadaan berjaga-jaga dengan keselamatan yang diperketatkan selepas beberapa serangan maut oleh pengganas Islam, dan lain-lain, sejak 2015. – AFP, 11 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen