SUSPEK kes tembakan yang meragut nyawa tiga orang di Pusat Kebudayaan Kurdish di Paris dirujuk ke klinik psikiatri menurut pendakwa raya.
Lelaki Perancis berusia 69 tahun itu dipindahkan dari tahanan atas faktor kesihatan dan dpindahkan ke unit psikiatri polis semalam.
Kejadian tembakan pada Jumaat lalu itu mencetus panik di Rue d’Enghien di daerah ke-10 Paris, yang menempatkan populasi besar Kurdish. Insiden itu turut mencederakan tiga yang lain, dengan seorang mangsa dilaporkan kritikal.
Sumber rapat kes itu berkata kejadian tembakan tersebut mungkin bermotifkan perkauman. Pendakwa Raya Perancis berkata suspek dipindahkan selepas hasil pemeriksaan doktor mendapati keadaan kesihatan suspek tidak selaras dengan syarat penahanan.
Insiden tembakan pada Jumaat itu mencetus kemarahan dalam kalangan komuniti Kurdis di Paris, mendakwa ia berpunca daripada kelemahan pihak berkuasa Perancis.
Kemarahan komuniti Kurdis memuncak apabila mereka bertempur dengan pihak polis semalam.
Ketua Polis Paris Laurent Nunez berkata sekurang-kurangnya 31 pegawai polis dan seorang penunjuk perasaan cedera, manakala 11 lagi ditahan dalam tunjuk perasaan tersebut.
Presiden Perancis Emmanuel Macron dilaporkan berkata komuniti Kurdis di Perancis merupakan sasaran utama serangan kebencian dan beliau telah mengarahkan Nunez mengadakan pertemuan dengan ketua komuniti masyarakat itu semalam. – AFP, 25 Disember, 2022.
Komen