Laporan PRN kerajaan perpaduan dibentang 19 Mac, kata Saifuddin


Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau difahamkan pertemuan antara pimpinan tertinggi kerajaan perpaduan akan berlangsung pada 19 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2023.

TIGA jawatankuasa di bawah sekretariat kerajaan perpaduan akan membentangkan laporan peringkat pertama rundingan antara semua parti politik pada 19 Mac ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga jawatankuasa itu iaitu jawatankuasa strategi, jawatankuasa pilihan raya dan jawatankuasa pemantauan agenda kerajaan dan politik perlu menyiapkan laporan masing-masing sebelum tarikh itu.

“Saya sudah dimaklumkan oleh ketua sekretariat (kerajaan perpaduan) Asyraf (Wajdi Dusuki) bahawa jadual pertemuan antara pimpinan tertinggi kerajaan perpaduan akan berlangsung pada 19 Mac.

“Kami di peringkat jawatankuasa perlu menyiapkan laporan sebelum tarikh itu. Jadi perkara berkaitan perundingan kerusi di peringkat PH sedang berlaku sekarang membabitkan enam negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen PH Kedah di Sungai Petani hari ini.

Beliau berkata keputusan rundingan kerusi antara parti dalam PH akan dibawa ke peringkat sekretariat kerajaan perpaduan untuk dibincangkan bersama Barisan Nasional (BN) bagi menentukan pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan itu.

“Apabila kami duduk dengan BN barulah kami tengok balik, tapi yang pentingnya adalah kesediaan dua blok ini untuk duduk bersama sebab dua gabungan ini (PH dan BN) penting.

“Kalau macam di Kedah ini lebih penting sebab kami nak elakkan tiga penjuru, sudah pasti kami nak masuk pilihan raya ini dengan kombinasi PH dan BN sebagai dua komponen penting dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Pada 7 Februari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat pertama sekretariat kerajaan perpaduan mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa itu bagi merangka strategi menghadapi PRN di enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah. – Bernama, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen