Percepat pelaksanaan MRT3 untuk pacu industri pembinaan, kata persatuan


Menurut Oliver langkah itu penting memandangkan projek MRT sudah di peringkat lanjut.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.

PERSATUAN Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dengan seberapa segera yang dilihat mampu menyuntik manfaat berganda kepada industri pembinaan.

Presidennya Oliver Wee Hiang Chyn berkata ini sekali gus akan turut membantu pemulihan industri tersebut.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan projek MRT sudah di peringkat lanjut yang hanya mewajarkan lagi pelaksanaan MRT3 dalam masa terdekat.

“Jika tiada projek mega, pemulihan industri pembinaan akan terbantut. Ini juga menyebabkan kelangsungan kontraktor dan ramai penggiat terjejas.

“Malah, subsektor pembinaan juga masih menunggu untuk kembali kepada keadaan asal dari segi jumlah perniagaan pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Oliver juga menyifatkan realiti semasa yang dihadapi oleh penggiat industri pembinaan itu sebagai tidak menentu susulan faktor seperti kenaikan harga bahan mentah yang di luar kawalan kontraktor.

“Harga itu perlu distabilkan semula. Kami juga merayu agar kerajaan dapat menggalakkan lagi perumahan awam dengan memberi dorongan lebih besar terhadap Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Insentif berkaitan misalnya perlu diberi kepada pemaju dan kontraktor projek-projek yang menggunakan IBS supaya penerimagunaannya dapat dipertingkat,” katanya. – Bernama, 24 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen