_(1).jpg)
SEBAHAGIAN dari bayaran wang ehsan dari hasil minyak Kelantan dan Terengganu akan dibayar melalui program pembasmian kemiskinan, kata Menteri Kewangan Anwar Ibrahim.
Ia merupakan salah satu usaha mengatasi kemiskinan tegar yang diumumkannya dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, ia selari dengan usaha kerajaan persekutuan, Sarawak dan Sabah yang menggunakan sebahagian bayaran hasil petroleum ke negeri itu bagi program pembasmian kemiskinan.
“Selaras dengan itu, Kementerian Kewangan juga akan memperuntukkan sebahagian daripada Wang Ehsan Kelantan dan Terengganu supaya disalurkan secara langsung khususnya untuk membantu golongan miskin,” katanya.
Dalam pembentangan di Dewan Rakyat hari ini, Anwar mengumumkan subsidi, bantuan dan insentif berjumlah RM64 bilion bagi membantu mengurangkan kos sara hidup.
Langkah itu termasuk melalui kawalan harga, bantuan kewangan dan perkhidmatan,
Beliau mengumumkan isu rumah dengan pendapatan kurang dari RM2,500 layak mendapat bantuan sehingga RM2,500 mengikut bilangan anak bawah skim Sumbangan Tunai Rahmah.
Sebanyak RM600 lagi disediakan kepada isi rumah miskin tegar mengikut data e-kasih, yang membolehkan mereka menerima sehingga RM3,100.
Kawalan harga diumumkannya melalui tawaran Menu Rahmah RM5 dan diskaun sehingga 30% bagi barangan keperluan di Jualan Rahmah.
Beliau juga mengumumkan peruntukan sehingga RM225 juta untuk agihan barangan keperluan di 25 kawasan baharu termasuk Paloh dan Passin di Sarawak, Pasir Raja di Terengganu dan Kuala Krai di Kelantan. – 24 Februari, 2023.
Komen