Belanjawan 2023 abaikan penjawat awam, kata Cuepacs


Adnan menyifatkan Belanjawan 2023 itu mengecewakan penjawat awam. – Gambar Facebook, 24 Februari, 2023.

BELANJAWAN 2023 yang dibentangkan semula oleh Menteri Kewangan Anwar Ibrahim hari ini tidak menyentuh soal peningkatan kos sara hidup yang berterusan membebani penjawat awam, kata Cuepacs.

Presidennya Adnan Mat menyifatkan belanjawan dibentangkan itu mengecewakan kerana tiada komitmen kerajaan berkait kenaikan gaji penjawat awam selari dengan kenaikan kos sara hidup.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya penjawat awam mengharapkan sistem gaji  lebih baik yang tidak disemak sejak November 2022.

Katanya perumahan untuk penjawat awam juga tidak disentuh dalam Belanjawan 2023.

“Konsep rumah mampu milik seperti Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang dikhususkan kepada anggota ATM perlu diperluaskan kepada semua penjawat awam.

“Mereka tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam,” katanya.

Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan hari ini, Anwar mengumumkan pemberian bantuan khas RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk yang kontrak dan pencen. – 24 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen