Kucing pun boleh menang di kerusi Pandan, kata Rafizi


Yasmin Ramlan

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kini dalam proses memohon rayuan terhadap sabitan sebelum ini yang mana beliau didapati melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2018. 

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yakin PKR akan dapat mengekalkan kerusi tersebut dalam pilihan raya umum akan datang walau siapapun calon yang bertanding.

Beliau yakin dengan perkara itu kerana menurutnya Pandan merupakan kerusi kuat PKR.

“(Di kerusi) Pandan, letak kucing pun boleh menang. Jadi tak jadi masalah. Pandan kerusi terkuat PKR.

“Jadi dari segi majoriti kemenangan, demografi dan lain-lain ia tidak menjadi masalah untuk sesiapa pun bertanding di Pandan,” kata naib presiden PKR itu kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Rafizi yang tidak akan mempertahankan kerusi tersebut berkata, beliau tidak tahu siapa yang bakal bertanding bagi menggantikannya.

Bagaimanapun The Malaysian Insight difahamkan, ia mungkin akan ditandingi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Rafizi pada awal Februari lalu didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan kerana membocorkan akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Turut didapati bersalah mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) itu adalah bekas kerani Public Bank Johari Mohamad.

Rafizi kini dalam proses memohon rayuan terhadap sabitan sebelum ini berhubung kesalahan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Walaupun penghakiman untuk kes OSA itu masih dalam rayuan di Mahkamah Rayuan, Rafizi mungkin tidak selamat untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang kerana menghadapi dua pendakwaan.

“Keputusan rayuan saya akan diputuskan pada 1 Jun nanti. Masih ada dua bulan lagi untuk sabitan melanggar OSA. Jadi kalau rayuan saya ditolak maknanya saya ada satu tahun setengah bermula 1 Jun,” kata Rafizi.

Tambahnya, beliau merancang untuk menghabiskan masa sepanjang tempoh 30 bulan tersebut dengan membaca buku, mempelajari undang-undang dan menurunkan berat badan.– 14 Mac, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kesianlah kena masuk penjara kerana benar. Kalaulah tak dibongkarkan dan kalau takut, manalah rakyat nak tahu. Semoga YB kekal kuat and gigih dan terus dengan pembongkaran.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Malaysia Forward · Ulasan