Rafidah, Rais masih berdendam pada kerajaan, kata Nazri


Low Han Shaun

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz ketika bercakap pada sidang media selepas merasmikan aplikasi eHalal di Kuala Lumpur, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 14 Mac, 2018. 

RAFIDAH Aziz dan Rais Yatim masih meenyimpan dendam kepada kerajaan, itu sebab mereka mengkritiknya, kata Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, bekas menteri Rafidah Aziz dan Rais Yatim masih berdendam kerana digugurkan dari jawatan mereka dalam kerajaan. 

“Bukan mudah jika digugurkan, sekiranya kamu jadi menteri lebih 10 tahun kamu akan berdendam.

“Jadi jelas sekali mereka masih berdendam, jadi biarkan mereka cakap apa yang mereka nak cakap,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi eHalal di Kuala Lumpur hari ini. 

Ditanya apa pendapat beliau sekiranya bekas perdana menteri menyertai DAP pada pilihan raya umum akan datang, beliau hanya ketawa. 

“Itu komen saya,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad semalam dalam nada bergurau berkata beliau sanggup bertanding di bawah tiket mana-mana parti Pakatan Harapan termasuk DAP pada Pilihan Raya Umum ke 14 sekiranya partinya dibubarkan. 

Bekas menteri Rais Yatim pada Jumaat lalu mengkritik pemimpin negara yang tidak hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada bekas menteri besar Kedah, Sanusi Junid yang meninggal dunia pada hari itu.

“Barangkali kawan lama sudah tak berapa kisah tentang budi dan jasa,” tulis Rais di akaun Facebooknya.

Terdahulu pada 3 Mac, Rais turut membidas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak kerana beria-ia mempertahankan Jho Low, jutawan yang didakwa terlibat dengan kes penyelewengan dana 1MDB.

“Menteri komunikasi cepat sangat menidakkan kapal mewah Equanimity bukan milik Jho Low. Seeloknya tunggu dulu.

“Jho Low dah menuduh Amerika (Syarikat) dan Indonesia keterlaluan.

“Jelas sudah, Jho Low berkepentingan,” katanya menerusi Twitter. 

Ia susulan satu kenyataan Salleh terdahulu pada 1 Mac yang menyebut, tiada bukti bahawa kapal layar mewah Equanimity, adalah milik Jho Low.

Kapal layar itu dirampas oleh penyiasat Amerika Syarikat beberapa hari sebelum itu di Bali, Indonesia berhubung siasatan ke atas 1MDB

Menjawab kenyataan Rais itu, Salleh berkata, Rais agar tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakwaan di media sosial dan meminta bekas menteri itu mendengar keseluruhan kenyataannya berhubung rampasan kapal mewah terbabit.

Kes berhubung rampasan ke atas kapal itu turut menjadi kritikan Rafidah Aziz yang kecewa kerana kerajaan Barisan Nasional kerana gagal mengesan kapal mewah milik Jho Low itu.

Kata Rafidah, beliau sendiri pernah menemui lokasi tepat The Equanimity ketika sedang mengikuti aktiviti menyelam di Phuket tahun lepas.– 14 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen