Rais Yatim sedih tak ramai pemimpin negara hadir pengebumian Sanusi


Rais Yatim (tengah) bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yasin (kanan) dan Dr Dzulkefly Ahmad ketika menghadiri acara pengkebumian allahyarham Sanusi Junid. Jelas kelihatan perbezaan politik tidak timbul sama sekali kerana yang paling utama ketika ini adalah nilai persahabatan yang tinggi walaupun berlainan pegangan politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Mac, 2018.

BEKAS menteri Kabinet, Rais Yatim sedih hanya “sebilangan kecil pemimpin pihak berkuasa” yang menziarahi pengebumian Sanusi Junid hari ini.

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, Sanusi yang juga bekas menteri Kabinet dan menteri besar Kedah itu banyak berjasa kepada Umno dan tanah air.

“Barangkali kawan lama sudah tak berapa kisah tentang budi dan jasa.

“Ku dakap mu dalam kenangan Sanusi,” tulis Rais di akaun Facebooknya.

Rais dan Sanusi pernah bersama-sama dalam Kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Rais turut mengimbau persahabatannya dengan allahyarham bila mana Umno berpecah. Ketika itu Rais menyertai Semangat 46, parti pecahan Umno yang menertai pembangkang, manakala Sanusi memegang jawatan setiausaha agung Umno.

“Anda boleh cuba bayangkan macam mana kami berdua lalui konflik ketika itu. Tapi, sebagai orang yang berpekerti tinggi, kami tak putus persahabatan.

“Jadi, apa yang boleh dipelajari di sini, tidak kira perbezaan politik, persahabatan terutamanya antara individu tidak patut tergugat sama.

“Itulah yang saya belajar bila berkawan dengan beliau dan rasanya beliau pun belajar perkara sama dengan saya sebagai sahabatnya. Itulah antara perkara manis tentang Sanusi,” katanya kepada media siang tadi.

Sanusi meninggal dunia awal hari ini semasa menunggu waktu sembahyang Subuh.

Beliau merupakan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah antara 1981 dan 1986 dan pernah memegang jawatan sebagai timbalan menteri dalam negeri dari 1980 hingga 1981 sebelum dilantik menjadi menteri besar Kedah pada 1996 hingga 1999.

Bekas naib presiden Umno itu meninggalkan parti tersebut pada 2008 dan seterusnya menyertai Bersatu yang diasaskan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir. 

Pada Jun lalu, Sanusi dilantik sebagai pengerusi lembaga disiplin Bersatu.

Antara pemimpin kerajaan yang dilihat hadir hari ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Ahmad Shabery Cheek, dan Timbalan Menteri Pertahanan Mohd Johari Baharum. – 9 Mac, 2018.

FOTO-FOTO SEKITAR PENGKEBUMIAN SANUSI JUNID


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Masa org hidup kutuk bila dh mati mana brani tunjuk muka

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan