Bekas MB Kedah Sanusi Junid meninggal dunia 


Amin Iskandar

Sanusi Junid ketika berucap pada salah satu perogram terakhir yang dihadirinya pada Januari.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2018.

BEKAS Menteri Besar Kedah, Sanusi Junid, 74 meninggal dunia awal pagi tadi.

Anaknya, Akramshah yang mengesahkan perkara itu berkata, allahyarham meninggal dunia sejurus sebelum waktu Subuh.

“Arwah baru sahaja mengambil wudhu untuk solat Subuh, lalu rebah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Solat jenazah akan diadakan sesudah solat jumaat di Masjid Saidina Omar, Bukit Damansara,” kata Akramshah.

Sanusi merupakan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah antara 1981 dan 1986 dan pernah memegang jawatan sebagai timbalan menteri dalam negeri dari 1980 hingga 1981 sebelum dilantik menjadi menteri besar Kedah pada 1996 hingga 1999.

Bekas naib presiden Umno itu meninggalkan parti tersebut pada 2008 dan seterusnya menyertai Bersatu yang diasaskan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Pada Jun lalu, Sanusi dilantik sebagai pengerusi lembaga disiplin Bersatu.

Sanusi dalam satu program dialog pada 2015 mengingatkan kepada para pengikut parti supaya tidak menaruh harapan kepada tokoh seperti beliau dan Mahathir semata-mata.

Bekas ahli Parlimen Jerlun itu berkata, beliau dan Mahathir mungkin akan pergi pada bila-bila masa.

“Jangan letakkan harapan kepada mana-mana individu – sebagai contoh pada saya atau Tun (Dr Mahathir) – kerana sekiranya individu itu meninggal dunia, perjuangan akan terhenti,” katanya seperti dilaporkan.

Sanusi juga pada waktu itu berkata, beliau baru saja mendapat rawatan dari Institut Jantung Negara.

Dalam satu temubual dengan The Malaysian Insight Ogos lalu, Sanusi berkata perdamaian antara Dr Mahathir dan ketua umum PKR Anwar Ibrahim menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional. – 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen