Majlis Keselamatan PBB bincang ujian peluru berpandu Pyongyang 


Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB akan diadakan lewat Isnin untuk membincangkan ujian peluru berpandu terbaharu Korea Utara. – Gambar EPA, 20 Februari, 2023.

KOREA Utara mengesahkan negara itu menguji dua peluru berpandu  sistem roket pelbagai pelancaran (MLRS) pada Isnin, lapor Sputnik memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) milik kerajaan.

Pelancaran MLRS itu dijalankan pada 7 pagi waktu tempatan pada Isnin (22:00 GMT pada Ahad) dan ujian dilakukan sebagai tindak balas terhadap latihan bersama AS-Korea Selatan yang selesai pada Ahad.

Kedua-dua peluru berpandu itu yang dilancarkan ke arah Laut Jepun dan masing-masing terbang sejauh 395 kilometer (245 batu) dan 337 kilometer.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) berkata Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah Laut Jepun yang dikesan dari kawasan Sukchon di Wilayah Pyongan Selatan antara 7 pagi (22:00 GMT pada Ahad) dan 7.11 pagi waktu tempatan, menurut JCS.

Media Jepun melaporkan Pyongyang melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat pada pagi Isnin, dengan peluru berpandu pertama mencapai ketinggian maksimum 100 kilometer (62 batu) sejauh 400 kilometer manakala peluru berpandu kedua mencapai ketinggian maksimum 50 kilometer dan terbang lebih 350 kilometer.

Peluru berpandu itu jatuh di luar zon ekonomi eksklusif Jepun.

Pada Sabtu, Korea Utara turut menguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-15.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida memberitahu pemberita pada Isnin, bahawa negara itu meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat luar biasa susulan pelancaran peluru berpandu itu. 

Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) akan diadakan lewat Isnin untuk membincangkan ujian peluru berpandu terbaharu Korea Utara. – Bernama, 20 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen