PBB tolak gesaan Rusia siasat senjata biologi


MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) pada Rabu menolak resolusi dirangka oleh Rusia yang menggesa siasatan terhadap tuduhannya berhubung penglibatan Washington dalam dakwaan pembangunan senjata biologi di Ukraine.

Rusia secara rasmi meminta siasatan PBB minggu lalu terhadap tuduhan itu, yang kerap dibuat sejak permulaan serangannya di Ukraine.

Resolusi yang dikemukakan pada Rabu menerima dua undi menyokong (Rusia dan China), tiga menentang (Perancis, Amerika Syarikat dan Britain, yang mempunyai kuasa veto) dan 10 anggota tidak tetap Majlis yang kesemuanya berkecuali.

Teks itu memperuntukkan “penubuhan suruhanjaya dianggotai semua anggota Majlis Keselamatan untuk menyiasat dakwaan terhadap AS dan Ukraine” berhubung kewajipan mereka di bawah konvensyen melarang membangunkan, mengeluar dan menggunakan senjata biologi.

Timbalan Duta Besar Rusia Dmitry Polyanskiy kesal dengan keputusan undian itu berkata “Negara Barat menunjukkan dalam apa cara sekalipun undang-undang tidak terpakai kepada mereka.”

“Ini adalah mentaliti penjajah biasa yang kita sudah biasa dan tidak terkejut dengannya,” tambahnya, yang berjanji membawa isu ini pada persidangan semakan Konvensyen Senjata Biologi, dari 28 November hingga 16 Disember di Geneva.

“AS mengundi menentang resolusi ini kerana ia berdasarkan maklumat yang salah, ketidakjujuran, niat jahat dan kurangnya rasa hormat” terhadap Majlis Keselamatan, jawab Duta Besar AS Linda Thomas-Greenfield.

Resolusi ini adalah satu peristiwa penting bagi penipuan dan pembohongan Rusia dan tiada siapa yang percaya kecuali China, tambahnya.

AS dan Ukraine menolak tuduhan Rusia minggu lalu, dengan Amerika menyifatkannya sebagai rekaan semata-mata.

Timbalan Perwakilan Tinggi PBB bagi Hal Ehwal Perlucutan Senjata, Adedeji Ebo, mengulangi pada masa itu yang PBB tidak tahu mengenai program sedemikian, dan tidak mempunyai mandat atau kapasiti teknikal untuk menyiasat dakwaan itu. – AFP, 3 November, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen