UKRAINE sedang merancang untuk mencadangkan keahlian tetap Rusia dalam Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dibatalkan, kata Menteri Luarnya Dmytro Kuleba.
“Esok kami akan secara rasmi menyatakan pendirian kami. Soalan kami mudah: Adakah Rusia berhak untuk kekal sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan PBB dan berada di PBB langsung?” soalnya, bercakap menerusi siaran televisyen.
“Kami ada jawapan menyakinkan dan bersebab- tidak, ia tidak layak.”
Kuleba berkata persoalan mengenai kerusi tetap dengan kuasa veto dimiliki Rusia di Majlis Keselamatan PBB- yang turut dipegang Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan China- sudah dibincangkan dalam kalangan diplomat.
“Isu ini belum dibincangkan di sidang media dan kenyataan awam pemimpin negara dan kerajaan, tetapi di peringkat bawahan, orang sudah mula bertanya- apa yang perlu dilakukan Rusia supaya tidak menjadi ancaman kepada keamanan dan keselamatan (dunia),” katanya.
Majlis Keselamatan mempunyai 15 ahli yang ditugaskan menangani krisis global dengan mengenakan sekatan, membenarkan tindakan ketenteraan dan meluluskan perubahan Piagam PBB mempunyai kuasa sangat besar.
Tetapi lima ahli tetapnya yang mempunyai kuasa veto yang boleh menghalang sebarang resolusi masih mencerminkan dinamik kuasa pada hujung Perang Dunia Kedua.
Pelbagai negara sudah lama menggesa pembaharuan Majlis Keselamatan, dengan kritikan ia kurang perwakilan kerusi tetap untuk negara Afrika dan Amerika Latin.
Badan itu juga dianggap tidak cekap kerana kuasa veto yang dipegang ahli tetap- seperti berlaku pada Februari lepas apabila diplomat terus membincangkan kenyataan yang disediakan lebih awal walaupun Rusia sudah mula menceroboh Ukraine.
Presiden AS Joe Biden pada September berkata beliau menyokong peluasan Majlis Keselamatan untuk menjadikannya “lebih inklusif”- sesuatu yang jarang dilakukan Washington yang pernah beberapa kali mengabaikan Majlis seperti dalam kes Perang Iraq ketika pentadbiran George W Bush.
Sejak Rusia menceroboh Ukraine, kuasa Barat mula menggunakan kelompongan prosedur PBB bagi memastikan Rusia tidak menyekat hasrat Majlis Keselamatan.
Mereka menggunakan satu lagi badan penting PBB, Perhimpunan Agung PBB yang mempunyai 193 ahli untuk mengecam tindakan Kremlin. – AFP, 26 Disember, 2022.
Komen