Mahkamah Persekutuan dengar permohonan semakan Najib pagi ini


Pada19 Januari lalu Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib Razak memohon penangguhan semakan kes rasuah SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Februari, 2023. 

MAHKAMAH Persekutuan akan mendengar semakan kes rasuah SRC International Najib Razak pagi ini.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli akan meneruskan semakan sehingga Rabu.

Hakim lain yang terlibat ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Peguam dilihat tiba di Istana Kehakiman kira-kira jam 9.30 pagi.

Bekas perdana menteri itu tiba dari Penjara Kajang kira-kira jam 9.40 pagi dan dikelilingi oleh beberapa pegawai penjara.

Najib, 70, didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman RM4 bilion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International antara Ogos 2011 dan Mac 2012.

Beliau juga disabitkan atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Bagi tuduhan itu Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi dengan hukuman penjara dan denda dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 dan seterusnya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas.

Dalam perbicaraan terakhir pada 19 Januari, peguam bela Najib Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan dan berkata beliau memerlukan lebih banyak masa untuk membuat hujahan lisan kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang menafikan permohonan pasukan peguam Najib untuk menangguhkan perbicaraan SRC. – 20 Februari, 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen