Tugas kami selesai, terpulang kepada Najib fail petisyen ke PBB, kata ketua hakim 


Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata pihaknya telah melaksanakan tanggungjawab dari segi memutuskan kes SRC International melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2023.

PETISYEN difailkan Najib Razak kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD), yang memohon agar beliau dibebaskan daripada penjara atau kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya dibicarakan semula, tidak menjejaskan badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya pada 23 Ogos tahun lepas, “terserahlah kepada Najib” untuk mengambil apa-apa tindakan.

“Tugas kami sudah selesai. Kami telah melaksanakan tanggungjawab kami dari segi memutuskan kes itu. Apa sahaja yang beliau mahu lakukan, apa sahaja jalan yang beliau mahu lalui, itu di luar kuasa kami,” kata beliau pada sidang media selepas berucap pada majlis perasmian Tahun Undang-undang 2023, di Putrajaya hari ini.

Minggu lepas, bekas perdana menteri, melalui Tetuan Shafee & Co, memfailkan petisyen di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva secara digital.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu sidang akhbar bahawa anak guamnya memfailkan petisyen itu untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula susulan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bercanggah dengan peraturan keadilan antarabangsa.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International. – Bernama, 9 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen