Najib masuk hospital lagi


Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak sekali lagi dimasukkan ke hospital  bagi mendapatkan rawatan berkaitan masalah ulser dalam perut dihidapinya lapor Utusan Malaysia yang memetik sumber.

Menurut sumber, Najib menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejajar Akta Penjara 2000.

“Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Jabatan Penjara bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” kata sumber itu.

Ketika ditanya tempoh rawatan Najib, sumber berkata ia bergantung kepada syor dibuat oleh pegawai perubatan.

Pada September, Jabatan Penjaran mengesahkan Najib dimasukkan ke Hospital Rehabilitasi Ceras (HRC) untuk rawatan lanjutan susulan kemasukannya ke HKL pada 12 September lalu.

Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin berkata Najib dipindahkan ke HRC susulan memerlukan fisioterapi.

Kecoh di media sosial sebelum ini apabila Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun itu didakwa diberikan layanan istimewa kerana mendapatkan rawatan di HRC. – 4 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen