Pinda perlembagaan kerakyatan anak bukti kerajaan prihatin, kata menteri


Nancy Shukri berharap pindaan itu akan menyelesaikan masalah anak-anak yang tidak bertaraf kewarganegaraan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2023.

LANGKAH meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat kerakyatan negara ini, membuktikan keprihatinan kerajaan perpaduan dalam mengangkat prinsip kesaksamaan gender.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata pindaan itu hendaklah disegerakan dan disokong oleh semua ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang apabila ia dibentangkan di Dewan Rakyat kelak.

“Kami berharap ia (pindaan ini) akan menyelesaikan masalah anak-anak yang tidak bertaraf kewarganegaraan. Di Sarawak juga ramai yang mempunyai masalah ini, kita berikan keadilan buat mereka.

“Sejak menjadi ahli Parlimen, ramai ibu yang tampil meminta bantuan saya berhubung kerakyatan anak mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program keusahawanan wanita bangkit@KPWKM anjuran Yayasan Kebajikan Negara di Kuching, Sarawak hari ini.

Nancy berkata demikian bagi mengulas cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) Bahagian I dalam jadual kedua serta Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Bahagian II dalam jadual sama, seperti yang dipersetujui Jemaah Kabinet semalam.

Dalam kenyataan bersama, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, memaklumkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 berhubung perkara itu dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen kali ini selepas memenuhi kehendak undang-undang.

Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara itu adalah untuk menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’, menurut kenyataan itu. – Bernama, 18 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen