FIRMA perlombongan nadir bumi Lynas diberi tempoh lanjutan tiga tahun untuk beroperasi di Gebeng, Pahang sehingga 2 Mac 2026, umum kerajaan hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam sidang media berkata lanjutan itu diberikan di bawah syarat ketat untuk memastikan operasi selamat.
Kerajaan bagaimanapun menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat prasyarat di bawah terma lesen berhubung pengurusan sisa radioaktif di Malaysia selepas Julai tahun ini.
Mereka juga mahu mengimport lantanida pekat dari Australia.
Chang berkata Lynas mesti mematuhi syarat lesen, jika gagal ia akan dibatalkan.
“Syarat yang ditetapkan (oleh kerajaan) bukanlah perkara baharu. Ia sudah pun diperlukan di bawah lesen operasi terdahulu yang diluluskan pada Mac 2020.
“Mereka tahu mengenainya dan saya tidak tahu mengapa mereka berasa kecewa,” katanya.
Beliau merujuk kepada Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths Ltd, Amanda Lacaze yang menyuarakan kekecewaannya terhadap syarat ditetapkan untuk lesen operasi firma itu.
Lacaze berkata pembaharuan terbaru lesen operasi Lynas adalah yang keenam dan empat lesen yang diberikan sebelum 2020 tidak termasuk syarat ini.
“Walaupun syarat ini tidak berkuat kuasa sehingga 1 Julai, ia tidak konsisten dengan syarat di mana Lynas dijemput untuk melabur di Malaysia dan cadangan empat kajian saintifik bebas yang setiap satunya mendapati operasi di Malaysia berisiko rendah dan mematuhi peraturan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini Chang dilaporkan berkata Lynas dimaklumkan mengenai keputusan itu oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di mana permintaannya untuk menggugurkan empat syarat berkaitan aktiviti keretakan dan larut lesap, penjanaan sisa penulenan air larut lesap (WLP) dan pengimportan lantanida pekat dari Australia tidak dipertimbangkan.
Ini bermakna Lynas tidak lagi dibenarkan menjalankan aktiviti yang akan menghasilkan sisa radioaktif di Malaysia selepas Julai 2023.
Tempoh tiga tahun semasa lesen operasi Lynas ditetapkan untuk tamat pada bulan Mac.
Lacaze menjawab dengan mengatakan Lynas akan meneruskan dengan rayuan pentadbiran dan undang-undang untuk memastikan mereka dilayan secara adil dan saksama sebagai pelabur langsung asing dan majikan penting serta penyumbang kepada ekonomi Malaysia. – 15 Februari 2023.
Komen