Mosti teliti tingkat kerjasama Malaysia, China dalam pemindahan teknologi


Chang Lih Kang berkata, Mosti bersedia memainkan peranan penting dalam membantu komuniti perniagaan dan memajukan ekonomi negara. – Gambar Facebook, 15 Disember, 2022.

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan meneliti usaha mempertingkatkan kerjasama Malaysia dan China dalam aspek pemindahan teknologi, menurut menteri berkenaan Chang Lih Kang.

“Dari segi teknologi, kita semua tahu China jauh lebih maju. Saya rasa ada banyak perkara yang boleh dilakukan melalui kerjasama Malaysia-China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri persidangan usahawan Malaysia-China di Kuala Lumpur hari ini.

Chang berkata, Mosti bersedia memainkan peranan penting dalam membantu komuniti perniagaan dan memajukan ekonomi negara melalui pertukaran teknologi dengan negara maju.

Menurutnya, ini susulan ekosistem perniagaan antarabangsa selepas pandemik Covid-19 kini lebih berorientasikan teknologi.

“Fokus Mosti ada beberapa tetapi yang paling utama adalah melihat bagaimana kita boleh menggunakan sains dan teknologi untuk membantu mempergiatkan ekonomi negara dan membantu komuniti perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana,” katanya. – Bernama, 15 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen