PKR tidak hilang arah, kata naib presiden parti


Tan Yih Pey

PKR masih menyokong presidennya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri bagi pilihan raya akan datang manakala Dr Mahathir Mohamad dan ahli Parlimen bekas Bersatu menyokong Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal bagi jawatan itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2020.

PKR sedang mengumpulkan kekuatan, kata naib presidennya Chang Lih Kang selepas parti itu kehilangan ratusan ahlinya ekoran tindakan pemimpin atasan membelot untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional bagi menumbangkan Pakatan Harapan.

Katanya PKR mungkin tidak mempunyai angka (jumlah ahli Parlimen) yang cukup untuk menumbangkan kerajaan Perikatan tetapi mereka perlu memainkan peranan semak dan imbang sebagai parti pembangkang.

“Kita mesti menyingkirkan kerajaan pintu belakang ini, tetapi untuk berbuat demikian, PKR perlu melaksanakan tugas semak dan imbang terhadap kerajaan ini,“katanya kepada The Malaysian Insight.

Chang berkata parti itu tidak kalah walaupun berlaku pemecatan dan penggantungan ahlinya yang bersekutu dengan Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang membelot untuk menyertai Perikatan Nasional pada hujung Februari lalu.

Pada Mei, PKR membuang 348 ahli dan menggantung 285 lagi termasuk pemimpin di pelbagai kedudukan.

Chang berkata walaupun persepsi yang mengatakan PKR tidak sehaluan dengan parti komponen Pakatan Harapan berhubung calon perdama menteri disebabkan parti itu dipaksa memberi maklum balas tentang isu itu oleh pihak lain.

PKR masih menyokong presidennya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri bagi pilihan raya akan datang manakala Dr Mahathir Mohamad dan ahli Parlimen bekas Bersatu menyokong Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal bagi jawatan itu.

DAP dan Amanah juga masih menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri seperti yang dipersetujui dalam pelan peralihan tetapi memberi peluang kepada  presiden PKR itu untuk berbincang dengan Shafie tentang sebarang perubahan.

Chang berkata pengkhianatan Azmin merupakan ‘pembelotan terbesar’ tetapi bukannya menyebabkan parti berada pada titik paling lemah.

“Ingat bahawa Anwar menghabiskan masa bersama parti di dalam penjara selama 20 tahun,” katanya merujuk kepada waktu yang dilalui presiden PKR itu di dalam penjara atas tuduhan sodomi yang disifatkannya sebagai bermotifkan politik.

Chang berkata PKR juga perlu menjadi parti arus perdana dan platformnya yang berbilang kaum menunjukkan cara politik baharu kepada pengundi.

“Rakyat tidak pernah memandang secara serius terhadap PKR yang berbilang kaum, dan rakyat tidak nampak perkara ini pada pilihan raya 2004.

“Pada 2004, PKR hanya mempunyai satu kerusi Parlimen. Tetapi kita berjaya mengharunginya dan kini menjadi parti utama,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Lau Zhe Wie berkata sejarah PKR menunjukkan parti itu dibentuk sebagai platform politik berbilang kaum.

Namun parti itu tidak perlu untuk mendapatkan semula sokongan pengundi. Ia tidak berjaya meyakinkan umum lebih-lebih lagi dengan kemelut dalaman dan perpecahan yang berlaku.

“Jika mahu memenangi pilihan raya umum, perkara paling penting adalah memenangi undi rakyat, bukannya skema politik,” katanya.

Lau berkata PKR sering menjelaskan bahawa kemelut dalamannya sebagai kematangan berdemokrasi, tetapi beliau memberi amaran bahawa konflik berpanjangan akan menyebabkan rakyat mendapat gambaran buruk dan boleh kehilangan undi. – 12 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen