NEW Zealand mengisytiharkan darurat susulan Taufan Gabrielle yang melanda negara itu menenggelamkan rumah dan jalan raya serta menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik.
Pengisytiharan darurat itu ditandatangani Menteri Pengurusan Kecemasan Kieran McAnulty dan dilaksanaka selama tujuh hari bermula hari ini.
Pihak berkuasa menyifatkan ribut tropika yang membadai North Island itu sebagai bencana alam yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Ini kali ketiga New Zealand mengisytiharkan darurat. Daruratsebelum ini diisytiharkan selepas serangan di Christchurch pada 2019 dan pandemik Covid-19 pada 2020.
“Ribut ini bencana dahsyat yang mengancam kehidupan penduduk New Zealand,” kata McAnulty kepada pemberita.
Beliau berkata lebih banyak hujan dan angin kencang dijangka berlaku hari ini , sekali gus akan menyukarkan usaha menyelamat mangsa banjir.
“Laporan yang diterima amat membimbangkan.
“Perkhidmatan kecemasan bekerja siang malam namun tanah yang tidak stabil, air bah dan jalan-jalan raya yang tenggelam menyukarkan keadaan,” tambahnya.
Menurut Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan New Zealand seorang anggota mereka hilang manakala seorang lagi dalam keadaan kritikal selepas sebuah rumah runtuh di Auckland Barat.
Sementara itu Perdana Menteri New Zealand Chris Hipkins semalam umum pakej bantuan banjir berjumlah NZ$11.5 juta. – AFP, 14 Februari 2023.
Komen