Peru isytihar darurat di Lima, 3 wilayah lain


Penunjuk perasaan mengadakan sekatan di lebuh raya Pan-American di La Joya untuk menuntut peletakan jawatan Presiden Peru Dina Boluarte di Arequipa, Peru, Khamis lalu. – Gambar AFP, 15 Januari, 2023.

KERAJAAN Peru lewat semalam mengisytiharkan darurat di ibu negara Lima dan tiga wilayah lain berikutan protes terhadap Presiden Dina Boluarte yang sehingga kini meragut sekurang-kurangnya 42 nyawa sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Langkah itu, berkuat kuasa selama 30 hari, sekali gus memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan bagi mengekalkan ketenteraman dan menggantung beberapa hak perlembagaan seperti kebebasan bergerak dan berhimpun, menurut dekri yang diterbitkan dalam warta rasmi.

Penyokong bekas presiden yang digulingkan, Pedro Castillo membuat perarakan dan menghalang jalan di seluruh negara sejak Disember bagi menuntut pilihan raya baharu dan penyingkiran Boluarte.

Pada malam Jumaat, Boluarte dalam ucapan di televisyen menegaskan yang beliau tidak akan berundur sama sekali.

“Komitmen saya bersama Peru,” katanya.

Perintah darurat meliputi Lima, wilayah Cusco dan Puno, serta pelabuhan Callao yang terletak bersebelahan dengan ibu negara itu.

Lebih 100 sekatan jalan raya dilakukan bertujuan menghalang pergerakan lalu lintas di seluruh Peru semalam, terutama di kawasan selatan, yang menjadi pusat protes selain di sekitar Lima.

Lapangan terbang di Cusco yang menjadi pintu masuk ke tapak kota purba Machu Picchu yang terkenal di selatan Peru, dibuka semula pada Sabtu selepas ditutup susulan kebakaran sejak protes.

Pihak berkuasa pada Khamis menangguhkan operasi sebagai langkah pencegahan di lapangan terbang, yang mengendalikan trafik udara kedua terbanyak di negara itu, selepas penunjuk perasaan cuba sampai ke hab pengangkutan.

Disember lalu, operasi tapak warisan sejarah itu digantung selama lima hari.

Demonstrasi besar-besaran antikerajaan mula tercetus pada awal Disember, selepas Castillo digulingkan daripada jawatan kerana cuba membubarkan Kongres dan memerintah secara dekri, yang mana ia bertujuan menghalang undian pemecatannya.

Peru mengalami ketidakstabilan politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Boluarte, 60, pemimpin yang memegang jawatan presiden keenam dalam tempoh lima tahun.

Castillo, yang kini sedang disiasat dalam beberapa kes penipuan semasa memegang jawatan, direman dalam tahanan selama 18 bulan, didakwa melakukan pemberontakan. – AFP, 15 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen