AirAsia batal penerbangan terus Kuching – Pulau Pinang mulai 1 Mac


Airasia membatalkan penerbangan terusnya dari Kuching ke Pulau Pinang dan sebaliknya mulai 1 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2023.

AIRASIA membatalkan penerbangan terusnya dari Kuching ke Pulau Pinang dan sebaliknya mulai 1 Mac, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Lee Kim Shin hari ini.

Syarikat penerbangan tambang murah itu akan membuat penerbangan melalui Kuala Lumpur, tambah Lee selepas beliau diberi taklimat mengenai keputusan itu oleh Hamdan Mohamad, pegawai perhubungan kerajaan AirAsia di Sarawak semalam.

“AirAsia Berhad akan diselaraskan semula dengan persinggahan atau fly-thru Kuala Lumpur sebelum terbang ke Kuching dan sebaliknya,” katanya.

Laluan penerbangan terus ke dan dari Kuching sejauh 742 km dan masa penerbangan adalah sekitar 2 jam 15 minit.

Dengan penarikan semula penerbangan AirAsia, hanya Firefly yang kekal melalui laluan itu pada kekerapan dua kali sehari.

Lee berkata penumpang yang membuat pembelian tiket awal dan terjejas oleh “penyelarasan semula” boleh memilih satu daripada tiga pilihan untuk menebus tiket mereka.

Pilihan pertama akan membolehkan mereka beralih ke laluan baharu yang akan transit melalui Kuala Lumpur. 

Dua pilihan seterusnya adalah untuk mereka mendapatkan bayaran balik tiket mereka. Mereka boleh sama ada menerima kredit dalam akaun AirAsia mereka atau memilih bayaran balik tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun bank peribadi mereka.

Lee tidak memberikan sebab mengapa AirAsia membatalkan laluan itu tetapi membayangkan kemungkinan syarikat penerbangan itu tidak mempunyai pesawat yang mencukupi apabila beliau berkata “separuh daripada pesawat mereka (AirAsia) masih dijadualkan untuk penyelenggaraan”.

Beliau menasihatkan mereka yang terjejas supaya membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, pengawal selia untuk pembangunan penerbangan, jika mereka berdepan masalah untuk mendapatkan bayaran balik tiket mereka. – 7 Februari 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen