APMM akan panggil pemilik, keluarga anak kapal kargo hilang


Pada 9 Januari, kapal kargo MV Dai Cat 06 yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia. – Gambar Facebook, 18 Januari 2023.

PEMILIK kapal serta ahli keluarga anak kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari akan dipanggil bagi membantu siasatan, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som.

“APMM akan membuka kertas siasatan dan memanggil pemilik kapal, keluarga anak kapal termasuk ejen kapal berkenaan bagi menjawab beberapa soalan mengenai kehilangan kapal itu.

“Antara yang akan ditanya ialah mengenai keadaan keselamatan kapal itu sebelum belayar dan kebajikan anak kapal termasuk sebab laporan mengenai kehilangan kapal berkenaan hanya dilaporkan pada 9 Januari sedangkan ia sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember lepas,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpurhari ini.

Pada 9 Januari, kapal kargo didaftarkan di Malaysia itu yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal berkenaan pada hari yang sama.

Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo itu selama tujuh hari telah ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia pada 14 Januari, selepas semua usaha yang dilaksanakan tidak menemukan sebarang petunjuk.

Mohd Zubil juga berkata siasatan awal pihaknya mendapati kapal terbabit ialah kapal pasir, namun  membawa muatan batang paip pada hari berkenaan. – Bernama, 18 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen