SYARIKAT penerbangan tambang murah Malindo Air (kini dijenamakan semula sebagai Batik Air) sudah diarahkan supaya menghubungi semua penumpang Ke Kuching yang terkandas selama lapan jam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam Jumaat lalu, kata Anthony Loke.
Perkara itu dimaklumkan menteri pengangkutan itu di Twitter malam tadi, bagi menjawab pertanyaan salah seorang penumpang yang tidak berpuas hati, di platform media sosial itu.
Salam Saudara Firdaus, saya dah hubungi pengurusan @malindoair ..mereka akan hubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf dan mengambil tanggungjawab. https://t.co/YqzWlJEgvT
— Loke Siew Fook (@anthonyloke) December 26, 2022
Aduan penumpang berkenaan, Firdaus Jailan, turut disertakan dengan rakaman video memaparkan penumpang yang terkandas tidur di atas bangku berhampiran pintu berlepas di KLIA.
“Delayed (terkandas) dari jam 11 ke 6 pagi dalam airport sejuk macam ni? Tolonglah elok sikit,” tulisnya.
Menjawab aduan Firdaus itu, Loke berkata,“Saya sudah hubungi pihak pengurusan syarikat penerbangan Malindo Air. Mereka akan hubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf dan mengambil tanggungjawab.”
Dalam rakaman video itu, Firdaus berkata tiada seorang pun kakitangan Malindo Air memaklumkan penerbangan ke Kuching yang dijadualkan berlepas pada 11 malam Jumaat tergendala lebih lapan jam. – 27 Disember, 2022.
Komen