Pecat, gantung parti bukan perkara luar biasa, kata Ku Li


Veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat tindakan presiden Ahmad Zahid Hamidi wajar atas tanggungjawabnya sebagai ketua parti yang mahu menjaga perjalanan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2023.

TINDAKAN Umno memecat dan menggantung puluhan ahli dan pemimpinnya atas isu pelanggaran disiplin bukan perkara luar biasa dan bukan pula perkara baharu dalam amalan mana-mana parti politik, kata veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah.

Malah beliau berpendapat tindakan presiden Ahmad Zahid Hamidi wajar atas tanggungjawabnya sebagai ketua parti yang mahu menjaga perjalanan parti.

“Setiap parti ada disiplin, mesti ada disiplin. Seseorang yang tidak ikut tatacara dan cara kerja dan susunan organisasi akan dikenakan disiplin untuk menjaga supaya parti berjalan dengan baik. 

“Apatah lagi dalam keadaan sekarang usaha dijalankan untuk menstabilkan keadaan politik,” katanya, seperti dipetik Astro Awani di Gua Musang.

Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno Gua Musang turut percaya Umno tentunya sudah meneliti isu-isu disiplin yang berbangkit sebelum mengambil tindakan, seperti yang diumum pada Jumaat.

“Saya percaya benda ni sudah pun diteliti dengan cermat oleh pihak yang bertanggungjawab, termasuk jawatankuasa disiplin.

“Kalau tidak berpuas hati, boleh buat rayuan. Ini perkara biasa dalam parti politik,” katanya.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Jumaat memecat 44 ahli parti termasuk bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar.

Mesyuarat itu juga menggantung keahlian bekas naib presiden Hishammuddin Hussein selama enam tahun bersama tiga yang lain, termasuk bekas ketua penerangan parti Shahril Sufian Hamdan.

Dua lagi yang digantung ialah Maulizan Bujang (ketua Umno Tebrau), dan Salim Sharif (ketua Umno Jempol).

Mereka yang dikenakan tindakan bagaimanapun berkata tidak mendapat surat tunjuk sebab dan tidak diberi peluang untuk membela diri.

Semalam, naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob juga berkata lembaga disiplin Umno pun tidak menasihatkan Ahmad Zahid bentuk tindakan yang perlu diambil.

Lembaga itu sebaliknya hanya memaklumkan kepada Ahmad Zahid tentang laporan dibuat terhadap mereka yang dituduh.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata Umno sedang melakukan “pembersihan besar-besaran” parti daripada mereka yang dianggap khianat semasa pilihan raya umum lepas. – 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen