Perlu bincang jika ada pemimpin Umno mahu sertai PKR, kata Rafizi


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata parti perlu berbincang sebelum buat keputusan bekas ahli Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari 2023.

PKR perlu membuat keputusan kolektif jika mahu menerima mana-mana ahli Umno ke dalam kumpulannya, kata timbalan presiden Rafizi Ramli.

Rafizi berkata bukan keputusan beliau seorang untuk mengalu-alukan mana-mana pemimpin Umno yang dipecat oleh parti itu baru-baru ini.

“Kita kena bincang dulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya seorang.

“Saya rasa kita kena lihat perkembangan satu persatu,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.

Umno semalam memecat Khairy Jamaluddin dan Noh Omar - kedua-duanya pemimpin veteran - kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan penyandang timbalan ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan Suffian digantung tugas selama enam tahun.

Turut digantung tugas ialah bekas ahli Parlimen Jempol Salim Sharif dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang.

Rafizi juga berkata persoalan mengenai mana-mana pemimpin Umno ini yang memohon menyertai PR kekal sebagai spekulasi.

“Buat masa ini perkara itu tidak timbul. Jika perkara itu timbul, PKR pasti perlu membincangkannya.

“Selagi ia tidak timbul, ia hanya akan menjadi spekulasi,” katanya. – 28 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen