Keterpencilan Mah Meri di Pulau Carey


Naim Al-Kalantani

DI Barat Daya Selangor, ada satu tempat bernama Pulau Carey. Bunyinya seperti nama  penyanyi Amerika, tetapi bukan. Di Pulau Carey itulah terletaknya perkampungan orang asli Mah Meri.

Ada satu perkampungan terpencil yang dikenali sebagai Kampung Sungai Judah di Pulau Carey.

Kampung tersebut tidak terdedah kepada pelancongan ataupun diuar-uarkan kepada pelancong di luar sana, termasuklah pelancong pun tidak mengetahui apakah yang akan berlaku di kampung tersebut.

Perayaan Tahun Baru Cina di seluruh negara tahun ini jatuh pada 22 Januari. Empat hari selepas perayaan tersebut, pada 26 Januari, masyarakat Mah Meri di Pulau Carey pula akan menyambut perayaan Hari Moyang Laut.

Enam orang ahli pasukan daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan semangat juang mendepani pengajian ijazah tahun akhir, asalnya ingin mengadakan sebuah festival untuk menyambut perayaan tersebut di sana bagi memenuhi keperluan projek akhir mereka.

Tetapi cerita berubah 180 darjah apabila mereka menjejakkan kaki di sana, ada idea baru timbul.

Mereka meninggalkan idea festival dan meneruskan dengan kaedah dokumentari kerana hasil kajian yang mereka dapat dalam internet dan buku sebelum ini, tidak bertepatan dengan apa yang Tok Batin kampung tersebut surahkan.

Hasil kajian yang dijumpai oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni, Budaya dan Warisan ini rupanya tidak lengkap.

Di YouTube dan Google, carian berkenaan Hari Perayaan Moyang Laut hanya disajikan dengan hari kemuncak perayaan iaitu Hari Moyang Laut itu sahaja.

Satu perkara paling penting dalam perayaan tersebut ialah adanya proses-proses yang perlu dilakukan oleh para penduduk dan penganut animisme ini.

Ia bukan satu proses yang enteng, tetapi ia melibatkan kepercayaan, ritual dan perayaan itu takkan wujud jika tiadanya proses tertentu selama lima hari ini.

Pasukan produksi itu berkata, mereka yakin bahawa projek untuk dokumentasikan proses-proses perayaan ini adalah kali pertama dijalankan kerana tiada satu pun dokumentasi berbentuk rakaman dokumentari berkenaan upacara ini.

Saya bertanyakan “Pakcik Google” berkenaan Mah Meri. Saya menjumpai Mah Meri Cultural Village.

Ada disertakan dengan laman sesawangnya sekali tetapi pengurus pemasaran dan promosi dokumentari ini, Muhammad Ikhwan Alif Salim berkata tempat itu merupakan pusat pelancongan bagi para pelancong datang melihat adat dan budaya sub golongan terpencil ini.

Lagi pula, Ikhwan memberitahu Mah Meri Cultural Village tersebut berada di Kampung Sungai Bumbun dan ia memang dibangunkan bagi tujuan pelancongan.

Cerita menjadi lebih menarik apabila pada kira-kira 6 bulan lalu, pengurus projek dokumentari, Hafiy Azere Azemi yang gemar bergulat dengan hal-hal pemujaan akhirnya berjumpa tulisan berkenaan golongan Mah Meri ini.

Dari situlah, mereka berenam bersetuju dengan dua objektif iaitu membawa kaum terpinggir ini ke tengah gelanggang arus perdana dan mendokumentasikan rakaman berkenaan proses yang dijalankan selama lima hari upacara penting itu.

Upacara lima hari

Mereka akan fokuskan kepada ritual dan upacara masyarakat setempat jalani bagi menghadapi perayaan Hari Moyang Laut mengikut pantang larang dan juga adat yang diajarkan nenek moyang mereka.

Nenek moyang mereka bukan sekadar wujud dalam bentuk fizikal tetapi wujud dalam bentuk “semangat”.

Pada 22 Januari sedang sibuk etnik Cina merayakan perayaan mereka tahun ini, orang asli Mah Meri pula sedang sibuk dengan upacara Hari Datuk Panglima Hitam.

Mereka akan masuk ke dalam hutan dan meminta restu daripada Datuk Panglima Hitam yang juga merupakan satu “semangat” bagi kepercayaan mereka.

Upacara Hari Datuk Panglima Hitam dijalankan bertujuan meminta kepada nenek moyang agar dapat menjaga penduduk kampung dari segi keselamatan, malapetaka dan bencana lain.

Selesai upacara tersebut yang diketuai oleh Tok Batin, mereka perlu menyiapkan tempat duduk nenek moyang mereka atau dikenali sebagai “Salong” di Balai Moyang yang merupakan tempat masyarakat ini berkumpul daripada awal perayaan sehingga hari kemuncak.

Persiapan itu mengambil masa tiga hari, daripada 23 hingga 25 Januari.

Pada 25 Januari, mereka akan menaiki bot daripada sungai menuju ke laut untuk memohon restu daripada nenek moyang mereka bagi melakukan perayaan Hari Moyang Laut keesokannya.

Dalam perayaan itu, mereka tak boleh sewenang-wenangnya. Ada adat, adab dan tertib tertentu perlu diikuti.

Mereka ada upacara meminta restu dan izin dan mereka perlu “menjamu” arwah. Bagi mereka, proses-proses ini penting untuk perayaan istiadat ini.

Tiba hari kemuncak pada 26 Januari, semua lima perkampungan yang berada di Pulau Carey akan bersama-sama pergi ke Pantai Bangkong untuk menyambut perayaan Hari Moyang Laut itu.

Tarikh ini dipilih berdasarkan kalendar Cina. Tak kisahlah pada masa itu ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekalipun, mereka masih jalankan upacara ini.

Buktinya, Tok Batin berkata dahulu pada 2020 pun perayaan itu berjalan seperti biasa. Kerana bagi mereka, jika mereka tak laksanakan ritual ini, mereka akan ditimpa musibah dan malapetaka.

Pemilihan Kampung Sungai Judah

Ada lima kampung Mah Meri di Pulau Carey tetapi Tok Batin berkata mereka menyambut perayaan yang sama tetapi setiap kampung mempunyai proses yang berbeza.

Kampung Sungai Judah ini salah satu yang masih mengekalkan keaslian dari segi ritualnya.

Setiap kampung ada Balai Moyang tersendiri. Ikhwan berkata, asalnya mereka tidak dapat menemui penduduk Kampung Mah Meri.

Jadi daripada pertolongan pihak Mah Meri Cultural Village, mereka mendapat maklumat berkenaan Balai Moyang itu.

Balai Moyang itu dijumpai mereka di Kampung Sungai Judah. Empat kampung yang lain bukannya tak ada, tetapi mereka tidak mahir selok-belok untuk ke sana.

Disebabkan produksi mereka tidak jumpa jalan untuk masuk ke kampung yang lain, mereka berbincang dan akhirnya memilih untuk menggunakan kampung orang asli Sungai Judah itu sahaja.

Penjagaan nilai estetika

Ikhwan dan Hafiy berkongsi cerita yang sama – Tok Batin tidak mahu menukar adat dan budaya yang berasal daripada nenek moyang mereka dahulu sehinggalah sekarang.

Jika ada perkara yang mahu diubah, mereka perlu meminta “izin” daripada nenek moyang mereka.

Kalau tak dapat izin, mereka tak boleh lakukannya. Kalau mereka ubah juga, mereka akan ditimpa musibah dan malapetaka.

Kepercayaan golongan ini menanggap perkara tersebut penting. Orang luar akan memandang hal ini sebagai perkara mudah dan remeh, tetapi “izin” daripada “semangat” nenek moyang mereka itu menjadi perkara nombor wahid berbanding perkara-perkara lain.

Tok Batin sahaja yang tahu kerana dia sahaja yang dapat berkomunikasi dengan nenek moyang mereka.

Apa saja yang kumpulan ini mahukan bagi keperluan produksi – contohnya memerlukan persediaan topeng-topeng dan busana sebagai bahan pameran dan hiasan, Tok Batin tidak terus menolak – tetapi berkata, “nanti, saya kena minta izin dulu.”

Tidak dinafikan ramai yang sudah sampai ke Pulau Carey tetapi produksi ini merupakan usaha kali pertama untuk kita sama-sama dapat menyaksikan dokumentari dan dokumentasi penuh berkenaan proses bagaimana perayaan itu berjalan dari hari pertama. 

Kini enam orang ahli pasukan sedang bertungkus lumus untuk menyediakan persiapan saat akhir sebelum bertolak buat kesekian kalinya ke Pulau Carey, kali ini bagi acara sebenar pada 22 Januari nanti dan bermalam di sana sehingga acara kemuncak pada 26 Januari.

Mereka dilihat optimis ingin menjaga warisan budaya tidak ketara (intangable) ini dan produknya nanti sebagai bahan percuma untuk tujuan mengedepankan golongan orang asli yang ada dalam kalangan kita tidak sedar kewujudan mereka ini.

Hasil akhir produk dokumentari ini diberi tajuk “Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut Kampung Orang Asli Sungai Judah”.

Ia akan ditayangkan di Pawagam Jalan Ampas, Aswara pada 30 Januari 2023 nanti.

Mengiring bersama tajuk “eksplorasi budaya”, para pelajar ini sebenarnya ingin menyampaikan hal-hal terpencil seperti Mah Meri yang perlu digali dan dikaji untuk tatapan orang lain yang pemikirannya masih berada dalam kepompong budaya masing-masing. – 21 Januari, 2023.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen