Suku Mah Meri di Bagan Lalang enggan pindah


Raevathi Supramaniam

Penduduk kampung lega kerana mempunyai pilihan lain selain mengosongkan tanah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Mei, 2021.

SUKU Mah Meri di Bagan Lalang, Selangor yang diberi masa sampai semalam untuk keluar supaya projek pelancongan dapat dijalankan telah memutuskan untuk tetap tinggal ketika mereka mempertimbangkan pilihan lain.

Penduduk Orang Asli itu membuat keputusan tersebut selepas bertemu dengan jawatankuasa Majlis Peguam mengenai hak Orang Asli pagi semalam bagi mendapatkan kefahaman mendalam mengenai hak tanah mereka.

“Sebelum ini, mereka tidak tahu tentang hak atas tanah ini. Mereka hanya mendengar daripada pihak berkuasa dan bersetuju untuk mengosongkan,” kata Siti Kasim, pengerusi jawatankuasa itu kepada The Malaysian Insight.

Tanah tempat perkampungan itu dimiliki pejabat tanah dan daerah Sepang serta Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB).

Pada 20 April, 36 penduduk kampung diberi notis pengusiran dan diberi masa sehingga 20 Mei untuk mengosongkannya.

Mereka mengajukan kepada pejabat tanah dan PNSB untuk melanjutkan tempoh kerana pandemik antara salah satu sebab, namun tada pemanjangan formal ditawarkan kepada mereka.

Orang Asli diminta mengosongkan tanah mereka bagi memberi jalan kepada rancangan pembangunan di bawah projek pembangunan Sepang GoldCoast.

Walaupun penduduk kampung tidak diberitahu tentang rancangan untuk tanah tersebut, PNSB berkata rancangan itu bertujuan membangunkan tanah itu sebagai destinasi pelancongan.

Menurut laman webnya, projek pembangunan Sepang GoldCoast dianggarkan bernilai RM1 bilion.

“Hak mereka bukan bermula ketika rumah pertama dibangunkan 20 tahun lalu, tetapi mereka ada hak ke atas tanah ini daripada penggunaan dan penguasaan tanah secara terus-menerus,” kata Siti, ditemani peguam Saha Deva dan Bah Tony.

“Menurut penduduk kampung, mereka mencari rezeki di tanah ini lebih 500 tahun, ini adalah tanah nenek moyang mereka.

“Sama halnya dengan suku di hutan dan bagaimana mereka dapat menuntut bahagiannya. Ini kerana mereka menggunakannya dan mencari rezeki di sana.”

Tambahnya kerajaan sepatutnya berunding dengan Orang Asli sebelum memutuskan untuk menghalau mereka.

“Malaysia adalah penandatangan Deklarasi PBB tentang Hak-hak Masyarakat Asli 2007 (UNDRIP) dan berdasarkan itu, mereka berhak mendapat persetujuan bebas, adil dan diberitahu sebelum kerajaan memutuskan untuk mengusir mereka bagi tujuan pembangunan.”

“Mereka meminta nasihat kami dan itulah sebabnya kami ada di sini. Akhirnya bergantung kepada mereka sama ada untuk terus tinggal di sini atau tidak.”

Siti Kasim berkata kerajaan negeri sepatutnya berunding dengan Orang Asli Bagan Lalang sebelum memutuskan untuk menghalau mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Mei, 2021.

Lega sebab ada pilihan

Salah seorang yang menerima notis pengusiran, Khairul Asmar berkata beliau lega kerana penduduk kampung ada pilihan lain selain mengosongkan tanah.

“Semasa kami diberi notis pengusiran, kami bersetuju untuk pergi kerana kami tak tahu banyak.

“Kami tak tahu tentang hak tanah kami atau kami boleh buat  tuntutan atas tanah ini sebab kami telah berada di sini selama beratus-ratus tahun,” katanya selepas menghadiri pertemuan tiga jam dengan wakil Majlis Peguam di kampung itu semalam. Lebih kurang 20 penduduk kampung yang lain turut hadir.

Khairul berkata, Mah Meri bergantung kepada laut untuk mencari nafkah kerana mereka adalah nelayan.

“Mata pencarian kami akan terjejas kalau kami terpaksa pergi.”

Buat masa ini, penduduk kampung masih belum memutuskan langkah seterusnya.

“Kami sedar beberapa pihak mungkin tidak akan senang jika kami tuntut tanah ini sebagai tanah adat kami.

“Mah Meri pada umumnya tidak bersifat konfrontasi. Kami masih mempertimbangkan semua pilihan kami sebelum buat keputusan.” – 21 Mei, 2021.

Orang Asli diminta mengosongkan tanah mereka bagi memberi jalan kepada rancangan pembangunan di bawah projek pembangunan Sepang GoldCoast. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Mei, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen