Calon BN fail petisyen batal kemenangan Pakatan di Segamat


Noor Azam Shairi

Calon BN M Ramasamy mendakwa ada pelanggaran peraturan pilihan raya oleh calon PH R Yuneswaran yang menang di Parlimen Segamat pada PRU15 lalu. – Gambar Facebook, 17 Januari 2023.

CALON Barisan Nasional (BN) M Ramasamy yang kalah pilihan raya kawasan Parlimen Segamat mengesahkan beliau mengemukakan petisyen di mahkamah untuk membatalkan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) R Yuneswaran pada pilihan raya umum lepas.

Petisyen difailkan ketika kedua-dua gabungan mempunyai persefahaman membentuk kerajaan bersama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ramasamy mendakwa ada pelanggaran peraturan pilihan raya oleh calon yang menang serta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Apa yang saya kata ini saya ada semua bukti,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi, semalam.

Ramasamy juga memberitahu beliau sudah memaklumkan tindakannya kepada Presiden MIC S A Vigneswaran untuk diangkat kepada perhatian pimpinan BN.

“Ini bukan soal parti. Ini hak saya sebagai calon. 

“Saya sudah buat apa yang patut saya buat,” katanya, yang juga bendahari MIC. 

Petisyen ini ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Pilihan Raya yang akan bersidang di Mahkamah Tinggi Muar pada 9 pagi, Rabu ini.

M Ramasamy berkata beliau sudah memaklumkan tindakannya kepada MIC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari 2023.

Langgar peraturan

Dalam petisyennya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan agennya melanggar peraturan pilihan raya berhubung bahan kempen bercetak termasuk kain rentang.

Beliau juga mendakwa Yuneswaran, dalam satu majlis kempen, mengagihkan bungkusan makanan kepada antara 150 hingga 350 pengundi.

“Kita tidak tahu apa ada dalam bungkusan itu,” katanya.

Jelas Ramasamy, beliau sudah membuat laporan kepada pihak SPR dan polis semasa tempoh berkempen namun tiada tindakan diambil sehingga hari pengundian pada 19 November.

Selain calon, Ramasamy juga mengemukakan bantahan terhadap Pengurus Pilihan Raya Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria, yang juga Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Segamat, dan SPR yang dakwanya tidak mematuhi beberapa peraturan proses pilihan raya.

Petisyennya akan dikendalikan oleh peguam kanan Muhammad Shafie Abdullah.

M Ramasamy mendakwa SPR tidak mematuhi beberapa peraturan proses pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari 2023.

Jaga hubungan

Yuneswaran ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima petisyen daripada Ramasamy.

“Tindakannya ini tentu akan ada sedikit implikasi. BN seharusnya menjaga hubungan dengan PH dan dalam kerajaan perpaduan. 

“Itu sepatutnya persefahaman yang kita sudah capai,” katanya.

BN dan PH memeterai perjanjian membentuk kerajaan perpaduan bersama parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak selepas tiada mana-mana gabungan politik menang jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan sendiri pada pilihan raya umum lepas.

Mengenai dakwaan pelanggaran peraturan pilihan raya, Yuneswaran berkata beliau tidak nampak ada kesalahan yang serius seperti yang disebut pada petisyen itu.

“Saya tidak tahu kenapa petisyen ini difailkan,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November, Yuneswaran yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR mengalahkan Ramasamy, yang jadi pesaing terdekatnya, dengan 5,669 undi.

Yuneswaran meraih 23,437 undi sementara Ramasamy dapat 17,768 undi.

Dua lagi calon iaitu P Poobalan dari Perikatan Nasional dapat 8,385 undi sementara Syed Hairoul Faizey Syed Ali dari Gerakan Tanah Air (GTA) hanya dapat 1,062 undi dan hilang deposit.

Calon PH R Yuneswaran menang di kawasan Parlimen Segamat pada PRU15 dengan majoriti 5,669 undi. – Gambar Facebook, 17 Januari 2023.

11 petisyen

Petisyen pilihan raya terhadap keputusan kerusi Parlimen Segamat adalah satu antara 11 yang dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas pewartaan keputusan PRU15, seperti proses yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Tempoh 21 hari itu berakhir pada 3 Januari, berikutan warta yang dibuat oleh SPR pada 14 Disember 2022.

Semalam, The Malaysian Insight yang memetik peguam dan sumber dalaman parti melaporkan 11 kerusi tersebut.

Lima daripadanya dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) iaitu Gua Musang di Kelantan; Kuala Terengganu, Kemaman, dan Marang (Terengganu); dan Masjid Tanah (Melaka).

Selain Segamat, dua lagi petisyen dibuat bagi kerusi yang dimenangi oleh PH iaitu Sandakan (DAP) dan Tuaran (UPKO).

Kerusi Tuaran dimenangi oleh Madius Tangau, yang juga bekas presiden UPKO.

Tiga kerusi lagi dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) melalui Umno (Putatan), GPS melalui PRS (Lubok Antu) dan seorang calon bebas (Tenom). – 17 Januari 2023. 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen