500,0000 pekerja asing dibawa masuk bagi sektor tidak diminati warga tempatan


Sektor pembinaan termasuk salah satu sektor dikatakan tidak diminati warga tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2023.

KEMASUKAN 500,000 pekerja warga asing ke Malaysia yang dirancang tahun ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata ini kerana mereka yang dibawa dari 15 negara sumber dalam benua Asia itu, berdasarkan permintaan di sektor-sektor yang tidak diminati oleh warga tempatan antaranya dalam sektor perladangan, pertanian dan pembinaan.

“Kita mendapati amat sukar mendapatkan pekerja tempatan untuk bekerja di sektor-sektor ini.

“Kebergantungan kita pada pekerja asing dalam sektor ini amat tinggi apabila tidak dapat ‘bekalan’ penawaran secukupnya akan mengganggu operasi sektor-sektor ini secara optimal dan mengakibatkan kerugian besar kepada agensi,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyalaan tanglung di Pusing di Batu Gajah malam ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata masalah kekurangan pekerja perlu diselesaikan segera kerana dibimbangi mengakibatkan ekonomi tidak dapat berkembang dengan baik memandangkan lebih 700,000 pekerja warga asing pulang ke negara masing-masing ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata hasil perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini mencapai kata sepakat bagi mempermudah dan mempercepat proses permohonan pengambilan pekerja warga asing yang kini hanya mengambil masa selama tiga hari.

“Banyak perniagaan akan ditutup sekiranya tidak mempunyai pekerja yang mencukupi jadi sebelum keadaan menjadi parah kita bekalkan tenaga kerja untuk operasi sektor-sektor yang memerlukan.

“Kerajaan akan mengambil langkah dalam usaha untuk mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang dijangka melanda seluruh dunia,” katanya.

Pada Oktober lepas Ahli Majlis Pemulihan Negara Michael Kang dilaporkan berkata Malaysia memerlukan seramai 500,000 pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam menyokong proses pemulihan negara. – Bernama, 15 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen