Portugal dijangka terima bantuan pertanian AS$6.713 bilion


Portugal dijangka menerima €6.713 bilion (AS$6.713 bilion) untuk pembiayaan pertaniannya daripada Kesatuan Eropah. – Gambar AFP, 1 September, 2022.

PORTUGAL dijangka menerima €6.713 bilion (AS$6.713 bilion) untuk pembiayaan pertaniannya daripada Kesatuan Eropah (EU), umum Kementerian Pertanian Portugis pada Rabu.

Pembiayaan itu diluluskan oleh Suruhanjaya Eropah (EC) di bawah sistem “rancangan strategik” Dasar Pertanian Bersama (CAP) yang akan diberikan kepada tujuh negara bagi kumpulan pertama penerima bantuan, lapor Xinhua.

Kementerian Pertanian berkata pembiayaan itu akan digunakan untuk “sokongan pendapatan, program sektoral, dan program pembangunan luar bandar”.

Ia menyebut bahawa kelulusan pembiayaan itu memerlukan “usaha keras dan menyeluruh”, termasuk perundingan awam serta “dialog kekal dan membina” dengan persatuan-persatuan yang mewakili sektor pertanian.

Portugal menghantar kertas cadangannya ke Brussels pada 30 Disember 2021, dan disusuli dengan proses rundingan.

“Ini merupakan pembaharuan terbesar Dasar Pertanian Bersama dalam tempoh 30 tahun dan bertujuan menjadikannya satu strategi bersepadu, mempunyai model prestasi yang memfokuskan pada hasil, dengan ekuiti yang lebih besar dalam pengagihan bantuan, iltizam iklim yang lebih besar, dan memberi penekanan yang lebih besar kepada dimensi sosial,” kata kementerian. – Bernama, 1 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen