Petani, penternak ikan Taiwan terkesan dengan sekatan China 


Petani di Taiwan terpaksa menanggung kerugian akibat sekatan yang dikenakan China terhadap negara pulau itu.– Gambar EPA, 26 Ogos, 2022.

KETIKA sebuah jet pejuang Taiwan terbang di atas padang menghijau yang subur di daerah Hualien timur minggu lalu, petani Mulin Ou duduk di kebunnya mengira kos terbaharu yang dikenakan China untuk memerah pulau itu.

Ketegangan di negara itu meningkat ke paras tertinggi dalam beberapa dekad ketika China marah dengan lawatan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat Nancy Pelosi awal bulan ini.

Beijing, yang mendakwa Taiwan sebagai miliknya, melancarkan latihan ketenteraan sebagai tindak balas, menghantar peluru berpandu ke perairan sekitar pulau itu.

Ia turut menjejaskan eksport buah-buahan dan produk ikan tertentu ke China dengan larangan import baharu yang dikenakan.

Kesan keseluruhan sekatan ekonomi terkini China adalah terhad. Tetapi pengeluar seperti Ou membayar harga yang menyakitkan.

“Tempahan dari tanah besar kami semuanya telah dibatalkan. Hasil buah kami tidak ada cara untuk sampai ke sana,” katanya.

Ladangnya di perbandaran Ruisui di Hualien telah menghantar kira-kira 180,000 kilogram (397,000 paun) buah sitrus ke tanah besar setiap tahun selama beberapa dekad.

“Pelanggan sedang menunggu hasil buah, tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan, ia adalah masalah politik,” katanya. – AFP, 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen