Nur Jazlan gelar Dr Mahathir 'Bapa Berita Palsu'


Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata Dr Mahathir Mohamad menyebarkan berita palsu kerana berterusan menyalahkan kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan berhubung masalah yang dihadapi oleh partinya, Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2018.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad adalah “Bapa Berita Palsu”, kata Timbalan Menteri Nur Jazlan Mohamed.

Menurut Utusan Malaysia hari ini, Nur Jazlan berkata Dr Mahathir menyebarkan berita palsu kerana berterusan menyalahkan kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung masalah yang dihadapi oleh partinya, Bersatu.

Jazlan berkata di Johor Baru semalam yang Dr Mahathir harus ingat peristiwayang menyebabkan Umno diisytiharkan haram pada 1988 ketika beliau menjadi perdana menteri, menteri dalam negeri dan presiden Umno.

Beliau berkata perkara yang sama berlaku kepada Bersatu, menyebabkan parti itu gagal mendapatkan kelulusan selepas RoS menerima banyak aduan daripada ahli Bersatu.

“Beliau yang bertanggungjawab menyebabkan Umno dinyahdaftarkan dan dibubarkan pada ketika itu kerana melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

“(Bila PBBM gagal didaftarkan) beliau menyalahkan kerajaan dan ROS pula. Banyak fake news oleh Tun sendiri kata ROS bersikap bias dan sebagainya. Beliau sebenarnya lupa apa yang telah dilakukannya kira-kira 30 tahun lalu,” kata Jazlan yang merupakan anak kepada Mohamed Rahmat, yang berkhidmat dalam kabinet Dr Mahathir sebagai menteri maklumat antara 1987-1999.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mempertahankan RoS dalam isu Umno dan Bersatu.

Beliau menyeru agar Dr Mahathir tidak campur tangan dengan proses perundangan dan menjaga partinya sendiri dan bukannya memikirkan soal Umno.

RoS mengancam untuk tidak meluluskan pendaftaran Bersatu berhubung isu pemilihan parti.

Ia juga meluluskan permintaan Umno untuk menangguhkan pemilihannya di luar tempoh kelewatan 18 bulan perlembagaan.

“Negara ini mempunyai undang-undang, ikut undang-undang!” kata Tengku Adnan.

“Beliau (Dr Mahathir) patut jaga parti sendiri. RoS ada sebab (buat keputusan),” kata menteri Wilayah Persekutuan itu hari ini.  – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • ROS tidak bersikap bias dalam perkara ini. Tak perlulah nak buat cerita buruk pasal kerajaan kononnya kerajaan yang tak mahu ROS luluskan pendaftaran parti PPBM. Be profesional Tun. Ikutlah undang-undang yang ditetapkan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan