Peminjam tak mampu bayar hutang jika OPR terus naik


Diyana Ibrahim

Rata-rata peminjam menanggung beban kewangan yang sangat tinggi dengan kos sara hidup meningkat selain komitmen bulanan yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2023.

GOLONGAN peminjam menuntut Anwar Ibrahim menyekat kenaikan berterusan Kadar Dasar Semalam (OPR) bagi beliau bersungguh-sungguh dalam menangani beban kos sara hidup rakyat.

Peminjam terutama dari golongan M40 ini bimbang tidak lagi mampu menjelaskan ansuran pinjaman bank dengan kenaikan berterusan kadar itu.

Pengguna ini memberitahu The Malaysian Insight mereka menanggung beban kewangan yang sangat tinggi dengan kos sara hidup meningkat selain komitmen bulanan yang tinggi.

Mereka resah kerana terpaksa membayar hutang yang melebihi kemampuan kerana gaji yang diterima tidak setara dengan kenaikan kadar OPR.

Seorang pesara yang hanya mahu dikenali dengan nama Mani memberi contoh, beliau terpaksa kembali bekerja sebagai pemandu e-panggilan kerana kenaikan OPR tersebut sejak tahun lepas.

Pesara berusia 55 tahun itu tertekan kerana terpaksa bekerja lebih masa apabila OPR dinaikkan lagi.

“Saya tidak mahu sentuh duit kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) kerana mahu menggunakannya untuk pendidikan anak-anak.

“Tapi sekarang dengan kenaikan OPR lagi saya terpaksa bekerja lebih masa bagi membolehkan saya menampung kenaikan tersebut,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih masih tidak campur tangan dengan lebih tegas bagi menghalang kenaikan itu.

“Saya rasa kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim sepatutnya lebih berani dan memikirkan cara untuk menangani isu. Jika tak memang tidak ada beza kerajaan sekarang dengan dulu.

“Bercakap mengenai kenaikan kos sara hidup semata-mata tidak mencukupi. (Anwar) perlu melaksanakan apa yang dia kata,” katanya.

Mani merujuk kenyataan Anwar minggu lalu yang menjelaskan kerajaan tidak ada kuasa dalam soal penetapan OPR kerana ia berada bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM).

Anwar yang juga menteri kewangan berkata beliau boleh membincangkan perkara itu namun perkara itu tetap bawah bidang kuasa BNM.

Kebimbangannya itu berasaskan jangkaan pakar kewangan bahawa BNM akan menaikkan OPR ke paras 3.25% bulan ini – kenaikan kelima berturut-turut, sejak kenaikan pada 11 Mei 2022.

Pakar menjangka kenaikan itu dengan melihat tekanan permintaan yang meningkat susulan pemulihan ekonomi domestik yang kukuh dan ketidaktentuan dalam pasaran modal.

Minggu lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak ada kuasa dalam soal penetapan OPR kerana ia berada bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2023.

Seorang lagi peminjam yang mahu dikenali sebagai Ravindran, 31, berkata kenaikan OPR terakhir menyebabkan bayaran pinjaman rumahnya naik sehingga RM300.

Pekerja swasta itu berkata beliau kini terpaksa memperuntukkan hampir RM3,000 setiap bulan bulan untuk membayar pinjaman rumah, kereta dan juga utiliti air dan elektrik.

“Dan jika berlaku sekali lagi, saya tak dapat nak bayangkan macam mana nak hadapi kerana gaji tidak naik, harga barang pula meningkat.

“Saya bimbang kenaikan itu akan terus menekan kami dan akhirnya tak mampu nak bayar hutang. Adakah ini yang diharapkan bank bila terus naikkan OPR?” soalnya.

Beliau juga kecewa kerana Anwar tidak menawarkan sebarang penyelesaian dalam menangani kenaikan tersebut.

“Saya ingat lagi dulu semasa berkempen PRU15, beliau sendiri mengutuk kenaikan OPR dan berkata ia membebankan.

“Tapi kini nadanya berubah kata menteri kewangan tak ada kuasa pula,” luahnya.

Seorang lagi peminjam yang mahu dikenali sebagai Sam,40, mendedahkan kenaikan tersebut menyebabkan dia terpaksa merancang dan catu perbelajaannya semula.

Wanita itu kini perlu membayar pinjaman ansuran bulanan rumah sebanyak RM1,700 berbanding RM1,500 pada dua tahun lepas.

“Saya memang kena merancang semula, potong mana tak perlu dalam perbelanjaan bulanan saya terutama pinjaman perumahan.

“Sebelum ini saya ada juga niat untuk tukar kereta tapi kerana keadaan sekarang saya tangguhkan dulu kerana tidak mahu tampung beban hutang lagi,” katanya.

Sam yang mengusahakan klinik haiwan juga bimbang kenaikan OPR itu akan menjejaskan perniagaan kecilnya.

Sementara itu Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Mohamad Yusrizal Yusoff menjangka kenaikan OPR kali ini akan turut menjejaskan golongan B40 dan bukan lagi hanya M40 semata-mata.

Beliau berkata pihaknya tidak pernah menghalang kenaikan OPR namun ia patut dibuat secara berasas dan tidak menggunakan alasan inflasi sebagai justifikasi terhadap tindakan tersebut.

“Cake pernah buat bantahan hantar memorandum kepada BNM semasa kenaikan OPR kali ketiga.Kita buat dulu kerana dapat banyak rungutan dari M40 mereka ini yang terkesan.

“Tapi dengan kenaikan kali kelima ini, sudah tentu kali ini B40 akan terkesan juga sebab kita tahu pengguna ini keseluruhan mereka ada hutang,” katanya.

Tambahnya senario lebih teruk akan berlaku kepada peminjam yang terpaksa menambah hutang mereka lagi akibat daripada kenaikan tersebut.

Beliau berkata keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana pengguna perlu mengurangkan hutang terutama ketika kos sara hidup yang meningkat dan bukannya dengan menggandakan hutang.

“Kita jangkakan golongan yang terjejas sekarang terpaksa berhutang untuk bayar hutang aset sedia ada.

“Apabila tidak mampu mereka akan bayar hutang dengan hutang, jadi ini akan tingkatkan kadar hutang.

Beliau turut menggesa kerajaan bertindak lebih agresif dengan menasihati BNM supaya tidak menaikkan OPR demi kepentingan rakyat.

Katanya alasan digunakan perdana menteri mendakwa tidak mempunyai kuasa membuat keputusan adalah sangat tidak masuk akal.

“Bagi saya perdana menteri tetap ada kuasa, menteri kewangan, menteri ekonomi sebab masih (bawah) bumbung yang sama (kerajaan).

“Kalau kita NGO ini pun boleh buat bantahan kepada BNM takkanlah perdana menteri tak boleh langsung,” katanya. – 9 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen