Inisiatif Payung Rahmah bantu kurangkan kos sara hidup B40, miskin tegar


Inisiatif Payung Rahmah akan melibatkan golongan B40 dan miskin tegar bagi membantu mereka menghadapi ekonomi global yang dijangka berlaku serius tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2023.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan inisiatif Payung Rahmah bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata inisiatif yang bakal diumumkan pada Selasa ini adalah hasil kerjasama dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Perinciannya akan diumumkan juga pada Selasa dan konsep Payung Rahmah ini merupakan fokus KPDN serta strategi jangka pendek bagi enam bulan pertama.

“Ia akan melibatkan golongan B40 dan miskin tegar yang mungkin kalau kita tidak tangani dengan teliti dan berfokus, saya bimbang keadaan ekonomi global yang dijangka berlaku serius tahun ini akan menyebabkan mereka lebih terkesan,” katanya kepada pemberita selepas Jamuan Kenduri Rakyat Petugas Parlimen Pulai di Johor Bahru malam tadi.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata inisiatif tersebut antaranya merangkumi pemberian bakul makanan, Jualan Murah Rahmah Kasih Sayang dan Cafe Rahmah untuk pelajar universiti.

“Kita akan beri bantuan bakul makanan dan mengadakan Jualan Murah Rahmah Kasih Sayang yang akan ada pakej 10 barangan, manakala pelajar universiti dibantu menerusi Cafe Rahmah,” katanya.

Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, Salahuddin berkata pihaknya akan mengumumkan skim kawalan harga pada minggu hadapan.

Mengenai sama ada pelitup muka akan dijadikan barangan terkawal berikutan pembukaan sempadan China, beliau berkata:“belum ada keputusan rasmi…itu bergantung keperluan pada ketika dan masa yang mungkin waktu itu kita perlu buat keputusan”. – Bernama, 8 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen