KETUA Menteri Sabah Hajiji Noor sudah hilang keabsahan jawatan kerana beliau antara pemimpin Bersatu Sabah yang keluar parti bulan lepas dan sekarang tidak ada parti, kata Shafie Apdal.
Presiden Parti Warisan Sabah itu berkata yang Bersatu dan Perikatan Nasional sudah tidak memiliki majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.
“Tiada siapa tahu sama ada beliau akan mempunyai keyakinan majoriti dan ahli (DUN) mempunyai hak untuk memilih ahli lain sebagai ketua menteri dengan membentangkan pilihan mereka kepada Tuan Yang Terutama Negeri Sabah pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini yang dipetik media.
Shafie berkata Perlembagaan Negeri jelas menyatakan yang pemimpin parti politik yang memiliki majoriti DUN perlu dilantik sebagai ketua menteri.
“Kita ikut undang-undang. Ini adalah perlembagaan. Hajiji bukan pemimpin parti dan tidak ada parti. Dia tidak boleh dilantik tanpa parti. Buat pertama kali dalam sejarah, kita dipimpin orang yang bukan memimpin parti,” katanya.
Bagaimanapun, awal hari ini, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun menolak dakwaan Umno sebelum ini yang Hajiji sudah hilang kelayakan untuk terus kekal sebagai ketua menteri.
Dalam satu kenyataan, Masidi berkata, pelantikan Hajiji adalah berpelembagaan.
Ia susulan kenyataan Ketua Umno Sabah Bung Moktar malam tadi yang mendakwa Hajiji hilang kelayakan untuk terus memegang jawatan ketua menteri menurut Perkara 6(3) dan 6(7) Perlembagaan Sabah.
“Menurut Perlembagaan Sabah, ketua menteri perlu dipilih daripada parti yang ada majoriti. Dia (Hajiji) tidak ada parti, dia bersama GRS, yang merupakan gabungan besar pelbagai parti,” kata Bung.
Masidi bagaimanapun menolak hujah ini, berkata tidak ada parti yang menang lebih 50% daripada 72 kerusi di Sabah.
“Maka kerana itu, berdasarkan tafsiran Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri dikeluarkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, Tuan Yang Terutama (TYT) melihat tidak ada satu parti yang menang lebihb 50% kerusi negeri dan dengan itu secara tepat menganggap Perkara itu tidak boleh digunapakai.”
Tambah Masidi, “majoriti” untuk tujuan tafsiran Perkara 6 (7) bermaksud lebih 50% kerusi dewan undangan negeri.
“TYT kemudiannya secara wajar dan tepat menggunakan kuasanya di bawah Perkara 6 (3) dan melantik Haji Hajiji Noor sebagai ketua menteri.”
Tindakan Barisan Nasional Sabah keluar daripada kerajaan negeri juga tidak menyebabkan tumbangnya kerajaan, kata Masidi lagi.
Beliau mengingatkan yang wakil rakyat daripada Bersatu yang keluar parti itu tahun lepas kini bersama GRS.
“Lebih daripada cukup untuk membentuk majoriti dan GRS adalah parti politik terbesar di Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya.
Malam tadi, Bung Moktar berkata beliau akan memaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang keputusan BN meninggalkan GRS.
Beliau tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Warisan selepas ini.
“Kami boleh bekerja dengan mana-mana parti selagi mana mereka ikhlas,” katanya.
DUN Sabah mempunyai 79 wakil rakyat, 73 adalah adun dipilih menerusi pilihan raya dan enam lagi adun dilantik.
Dengan penarikan sokongan Umno dan BN Sabah, kerajaan negeri diterajui Hajiji kini mempunyai sokongan 41 Adun- 29 daripada GRS, tujuh daripada Pakatan Harapan, tiga daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan masing-masing seorang daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.
Manakalan Warisan mempunyai 19 kerusi dan PAS, satu kerusi. – 7 Januari, 2023.
Komen