PARTI Warisan Sabah menyokong gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan persekutuan, kata presidennya Mohd Shafie Apdal.
“Warisan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kerana kedua-duanya mempunyai bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan dan majoriti rakyat telah mengundi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
“Oleh itu, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional harus diberi pilihan pertama untuk membentuk kerajaan. Sokongan ini juga atas alasan bahawa kerajaan persekutuan baharu akan menyelesaikan sepenuhnya 21 Tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam satu kenyataan ringkas ketika rundingan membentuk kerajaan persekutuan diteruskan hari ini.
Warisan memenangi tiga kerusi Parlimen – Lahad Datu, Kota Belud dan Semporna.
Shafie berkata Warisan berharap Pakatan Harapan bersama Barisan Nasional dapat memperoleh rakan kongsi yang akan membawa kestabilan politik dan perpaduan kepada negara.
Pada Sabtu, PH memenangi 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 dan Barisan Nasional dengan 30.
Ini mengakibatkan Parlimen tergantung berikutan tidak ada gabungan yang mencapai majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.
PH dan PN kedua-duanya mendakwa telah memperoleh sokongan untuk membentuk kerajaan persekutuan dan bersedia untuk menyerahkan butiran gabungan yang menyokong mereka dan perdana menteri pilihan mereka kepada istana menjelang 2 petang hari ini. – 22 November, 2022.
Komen