Penganalisis puji penurunan kuasa lulus projek bawah RM50 juta Sabah, Sarawak


Desmond Davidson

KEPUTUSAN Putrajaya menyerahkan kuasa meluluskan projek prasarana bawah RM50 juta kepada Sabah dan Sarawak dilihat sebagai langkah positif ke arah autonomi yang lebih besar kepada dua negeri berkenaan, kata penganalisis politik.

Mereka berkata ia selari dengan janji Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memulangkan kuasa kepada Sabah dan Sarawak, seterusnya memastikan isu berkait hak negeri-negeri Borneo itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan.

“Pengumuman tersebut menandakan Anwar serius mendengar dan menangani kebimbangan serta isu yang menyatukan rakyat Sabah dan Sarawak, terutamanya dalam dua pilihan raya umum lepas,” kata pensyarah sains politik dari Universiti Putra Malaysia, Jayum Jawan kepada The Malaysian Insight.

Anwar malah sedar keputusan itu akan menjadi faktor pengimbang dalam kerajaan perpaduan yang diterajuinya, ujar Jayum.

Dan nilai projek sebenarnya bukanlah perkara pokok, tambah beliau, yang juga dipersetujui penganalisis politik James Chin dari University of Tasmania.

Bagi rakyat biasa, kuasa meluluskan projek RM50 juta itu mungkin bunyinya mengagumkan, kata mereka.

“Sebenarnya tidak kerana jika dilihat secara keseluruhan belanjawan negara mencecah bilion ringgit.

Tetapi apa yang lebih besar nilainya ialah keputusan itu mencerminkan kesediaan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Anwar untuk melakukan perkara di luar kebiasaan, tegas penganalisis ini.

Banyak projek di Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan disegerakan selepas ini kerana tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan dari persekutuan terlebih dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari 2023.

Chin menegaskan kuasa untuk meluluskan projek yang diberi kepada Sabah dan Sarawak itu memberi implikasi besar.

Dan implikasi itu, jelas beliau, banyak projek di dua negeri terbabit dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan disegerakan selepas ini kerana Sarawak dan Sabah tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan dari persekutuan terlebih dahulu.

“Itulah kelebihannya. Dua negeri ini tidak perlu merujuk ke Putrajaya atau Kementerian Kewangan,” katanya.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman pada Rabu berkata keputusan kerajaan itu akan mengurangkan kerenah birokrasi dalam melaksanakan projek pembangunan di dua terbabit.

Kuasa yang diberikan itu membolehkan penekanan yang lebih besar terhadap pembangunan bersepadu seterusnya merapatkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar, katanya dalam kenyataan.

Fazzrudin yang juga Adun Tupong berkata ia sekali gus dapat mempercepatkan projek yang amat diperlukan rakyat serta memberi kuasa kepada Sarawak dan Sabah untuk mempunyai autoriti dalam pembangunan yang dilaksanakan. – 7 Januari 2023. 

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen