Dua individu didakwa edar 5.7kg ganja


SEORANG lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di George Town hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 5.7 kilogram.

Muhammad Syakir Saiful Azhar, 35, dan Muliana Susanti Pahmi, 31, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis ganja seberat 5,700 gram di sebuah pangsapuri di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah di George Town pada 1 pagi, 30 Disember lepas.

Selain itu, Muhammad Syakir turut didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 1,480 gram di lorong belakang pusat jualan Perodua, Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor pada 12.50 tengah hari, 29 Disember lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 7,180 gram bernilai RM36,162 dalam siri serbuan di sekitar Pulau Pinang, baru-baru ini. – Bernama, 5 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen