Pesalah ganja dapat pengampunan presiden AS


Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengarahkan jabatan keadilan dan kesihatan menentukan sama ada ganja perlu diklasifikasikan semula sebagai bahan yang kurang berbahaya. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2022.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memberi pengampunan kepada ribuan rakyat Amerika yang disabitkan kesalahan memiliki ganja dalam usaha ke arah membuang stigma terhadap tumbuhan itu.

Tindakan Biden itu juga dibuat bagi menunaikan janji kepada penyokongnya sebulan sebelum pilihan raya tengah penggal.

“Saya mengumumkan pengampunan bagi semua kesalahan persekutuan sebelumnya iaitu pemilikan ganja,” kata Biden.

Biden tidak menggesa untuk menyahjenayah ganja sepenuhnya, berkata “had ke atas pemerdagangan, pemasaran dan jualan di bawah umur harus kekal.”

Sebagai tambahan kepada pengampunan, Biden mengarahkan jabatan keadilan dan kesihatan untuk menentukan sama ada ganja perlu diklasifikasikan semula sebagai bahan yang kurang berbahaya.

Pegawai memberitahu pemberita kira-kira 6,500 orang terjejas secara langsung oleh sabitan di bawah kesalahan berkait ganja. Pengampunan akan diperluaskan kepada ribuan lagi yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang di ibu negara persekutuan, Washington.

Bagaimanapun, isyarat Biden bertujuan untuk mengambil perubahan lebih jauh, memberi tekanan kepada pihak berkuasa negeri di mana-mana untuk mengikutinya.

“Saya menggesa semua gabenor untuk melakukan perkara yang sama berhubung dengan kesalahan negeri. Sama seperti tiada sesiapa yang sepatutnya berada di penjara persekutuan semata-mata kerana memiliki ganja, tiada sesiapa pun harus berada di penjara tempatan atau penjara negeri atas sebab itu juga,” kata Biden. – AFP, 7 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen