Dilarang bawa pulang ganja Thailand, kata polis


Ketua Polis Perlis Surina Saad berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu bawa masuk ganja ke Malaysia dari Thailand walaupun dalam bentuk produk dengan kandungan ganja yang rendah. – Gambar EPA, 21 Julai, 2022.

RAKYAT Malaysia yang melancong ke Thailand tidak dibenarkan mengambil atau membawa pulang dadah jenis ganja ke negara ini meskipun negara jiran itu membenarkan penggunaan bahan terlarang tersebut.

Ketua Polis Perlis Surina Saad berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu membawa masuk ganja ke negara ini walaupun dalam bentuk produk seperti kek atau air yang mempunyai kandungan ganja yang rendah.

“Kita tidak mempunyai kuasa melarang mereka pergi melancong dan mengambil ganja di negara jiran, namun boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 sekiranya mereka membawa pulang atau berada di bawah pengaruh bahan terlarang itu ketika masuk ke negara ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Polis di Malaysia tidak ada kuasa melarang rakyat melancong dan mengambil ganja di Thailand, kata ketua polis Perlis. – Gambar EPA, 21 Julai, 2022.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan segelintir rakyat Malaysia yang masuk ke Thailand bukan hanya untuk melancong malah mengambil peluang mencuba ganja di sana.

“Secara peribadi saya nasihatkan rakyat Malaysia agar tidak cuba mengambil ganja ketika berada di Thailand walaupun ia dibenarkan di sana kerana dadah boleh memberi kesan tidak baik kepada kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Surina berkata beliau telah meminta agensi di sempadan agar meningkatkan pemeriksaan bagi memastikan tiada individu yang membawa masuk dadah jenis ganja ke negara ini walaupun  tiada kes dilaporkan sehingga hari ini. – Bernama, 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen