Jawatankuasa pembangunan industri ganja, ketum ditubuh, kata KJ


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum ditubuh bagi melihat bukti terkini mengenai penggunaan ketum serta kanabis terutama untuk tujuan perubatan. – Gambar EPA, 21 Julai, 2022.

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum ditubuh bagi melihat bukti terkini mengenai penggunaan ketum serta kanabis terutama untuk tujuan perubatan.

Khairy, yang juga Pengerusi jawatankuasa itu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini, berkata mesyuarat kali pertama jawatankuasa itu akan diadakan pada 25 Julai ini.

“Selepas jawatankuasa ini mendapat pandangan daripada pakar sama ada ketum atau kanabis boleh digunakan dengan selamat bagi tujuan tertentu khususnya perubatan maka kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran produk-produk demikian.

“Ini juga akan memberi kesan kepada penanam-penanam ketum di Malaysia yang mungkin boleh mendapat hasil ekonomi daripada penjualan tanaman ketum mereka,” katanya menjawab cadangan Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) semasa sesi perbahasan rang undang-undang itu mengenai hala tuju kerajaan untuk membenarkan penggunaan ketum bagi tujuan perubatan di negara ini.

Khairy berkata sebelum ini, beliau memberi bayangan terdapat kemungkinan besar kementerian akan mengeluarkan rangka kerja bagi pendaftaran produk berkaitan cannabidiol (CBD) menjelang akhir 2022.

Beliau juga berkata rang undang-undang itu antara lain bertujuan memberi fleksibiliti dalam pengendalian racun dengan membenarkan penggunaan dokumen berbentuk elektronik serta meningkatkan beberapa penalti dalam Akta 366 berhubung penggunaan racun dan bahan psikotropik.

Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2022 itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Khairy berkata cadangan kenaikan penalti dalam peruntukan undang-undang itu tidak dibuat sewenang-wenangnya tetapi penuh tanggungjawab dan kesedaran supaya tidak bersifat menghukum mana-mana pihak.

“Ini bukanlah semangat di sebalik pindaan kepada Akta Racun ini… Ini pandangan setelah kita melibaturuskan penguatkuasa dan semua pemegang taruh, kita dapati bahawa hukuman yang sedia ada tidak selaras dan tidak setimpal untuk menghalang pesalah daripada mengulangi kesalahan mereka, ia tidak memberi pengajaran atau bersifat pencegahan kepada orang lain.

“Prinsip utama di bawah pindaan akta ini adalah melindungi rakyat, alam sekitar dan negara daripada kesan mudarat racun yang sangat besar, kesan mudarat akibat pengendalian racun dan bahan psikotropik yang tidak betul, tidak teratur dan tidak berintegriti. Ini soal hidup dan mati,” katanya.

Beliau berkata cadangan kenaikan penalti yang agak tinggi dibuat merujuk kepada impak mudarat kepada penyalahgunaan dan pemesongan bahan yang dikawal di bawah akta itu manakala kuantum denda adalah selaras dengan denda di bawah akta lain.

Seksyen 30 akta itu dipinda bagi menaikkan penalti daripada denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya kepada denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – Bernama, 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen