Pope Benedict XVI meninggal dunia pada usia 95 tahun


Pope Benedict XVI muncul pope pertama meletak jawatan dalam tempoh enam abad. – Gambar Facebook, 31 Disember, 2022.

BEKAS pemimpin gereja Katolik, Pope Benedict XVI meninggal dunia pada usia 95 tahun, Vatican mengumumkan pada Sabtu, hampir sedekad selepas beliau menjadi pope pertama meletak jawatan dalam tempoh enam abad.

“Dengan rasa penuh kesedihan saya memaklumkan kepada anda bahawa Pope Emeritus, Benedict XVI, meninggal dunia hari ini pada jam 9:34 di Biara Mater Ecclesiae di Vatican,” kata jurucakap Vatican Matteo Bruni dalam satu kenyataan.

Pope emeritus berasal dari Jerman itu, yang dilahirkan dengan nama Joseph Ratzinger, menjalani kehidupan yang tenang di bekas biara di dalam kawasan Vatican sejak keputusan mengejutnya untuk berundur pada Februari 2013.

Tahap kesihatannya sudah lama merosot tetapi Vatican mendedahkan pada Rabu keadaannya bertambah buruk, manakala penggantinya Pope Francis menyeru umat Katolik di seluruh dunia berdoa untuknya.

Kematiannya menamatkan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila dua “lelaki berpakaian putih” – Benedict dan Francis – tinggal bersama di dalam tembok negara kota kecil itu.

Walaupun tiada buku peraturan bagi bekas pope, pengebumian Benedict dijangka diadakan di Vatican dan diketuai oleh Francis.

Pada 2005 mayat John Paul II, pope terakhir yang meninggal dunia, disemadikan pada upacara pengebumian di Dataran St Peter yang dihadiri sejuta orang, termasuk ketua negara. – AFP, 31 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen