Vatican siasat 251 kes pedofilia di gereja Sepanyol


Vatican telah membuka kertas siasatan terhadap 251 paderi dan beberapa organisasi yang dituduh membuat serangan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur. – Gambar EPA, 20 Disember, 2021.

SIASATAN media Sepanyol yang menemui 251 kes pedofilia di gereja Katolik negara itu telah dihantar ke Vatican yang telah membuka siasatan dalamannya, lapor media pada Ahad.

“Gereja telah membuka siasatan besar, tidak pernah berlaku sebelum ini di Sepanyol, terhadap 251 paderi dan beberapa organisasi awam yang dituduh melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur yang telah disiasat oleh akhbar ini sejak tiga tahun,” tulis El Pais.

Tuduhan dan keterangan saksi dari tahun 1943 hingga 2018 diperincikan dalam laporan yang diserahkan kepada paus pada 2 Disember, kata akhbar itu, yang telah mula menerbitkan kisah tanpa nama pertama di laman webnya.

Jemaah Doktrin Vatican yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan sedemikian bagaimanapun tidak dapat mengesahkan pembukaan siasatan kepada AFP pada Ahad.

Persidangan Episkopal Sepanyol “mengulangi komitmen dan kesediaannya untuk menjalankan siasatan terhadap semua kes penderaan” dan “menggalakkan semua mangsa mengemukakan aduan mereka”, kata organisasi itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sejak 2001, Vatican telah menerima 220 aduan serangan seksual, kata jurucakap Persidangan Episkopal Sepanyol kepada AFP. – AFP, 20 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen