Paus Francis gesa derma kepada Ukraine, berjimat untuk Krismas


Paus Francis menggesa penganut Kristian berjimat cermat untuk hadiah dan sambutan Krismas tahun ini, menyarankan orang ramai menderma kepada mangsa perang di Ukraine. – Gambar AFP, 14 Disember, 2022.

PAUS Francis pada Rabu menyeru orang ramai mengurangkan perbelanjaan untuk hadiah dan perayaan Krismas, menyeru penganut Kristian menderma wang kepada mangsa perang di Ukraine.

“Seronok meraikan Krismas. Tetapi mari kita kurangkan sedikit tahap perbelanjaan Krismas,” kata Francis ucapan umum mingguannya di Vatican.

“Mari kita sambut Krismas yang lebih sederhana, dengan hadiah yang lebih sederhana. Mari kita hantar apa yang kita simpan kepada rakyat Ukraine yang memerlukan,” katanya.

Hampir 10 bulan selepas perang, kesukaran akibat pertempuran telah bertambah apabila musim sejuk bermula dengan Rusia menyerbu infrastruktur tenaga Ukraine.

Serangan peluru berpandu telah melumpuh dan mengakibatkan bekalan elektrik, air dan perkhidmatan telefon terputus secara berkala di seluruh Ukraine.

Rakyat Ukraine “sangat menderita. Mereka lapar, sejuk. Ramai orang mati kerana tiada doktor atau jururawat,” katanya.

Pada Selasa, sekutu Barat Ukraine menjanjikan tambahan satu bilion euro (AS$1.1 bilion) dalam bantuan kecemasan musim sejuk untuk membantu negara itu menangkis serangan Rusia. – AFP, 14 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen