Fiji bakal dapat kerajaan baharu selepas kebuntuan pilihan raya terlerai


Parti Liberal Sosial Demokratik pimpinan Viliame Gavoka (gambar) yang menang tiga kerusi kini menjadi penentu untuk memilih bersama Parti FijiFirst atau gabungan Parti Perikatan Rakyat dan Parti Persekutuan Kebangsaan untuk membentuk kerajaan. – Gambar AFP, 21 Disember, 2022.

FIJI bakal mempunyai pemimpin baharu buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun selepas kebuntuan pilihan raya terlerai pada Selasa.

Keputusan pilihan raya pada Ahad adalah seri dengan penyandangnya Frank Veroqe Bainimarama, yang mengetuai Parti FijiFirst serta gabungan antara Parti Perikatan Rakyat Sitiveni Rabuka dan Parti Persekutuan Kebangsaan masing-masing memperoleh 26 kerusi, lapor dpa.

Sebuah parti boleh membentuk kerajaan jika memenangi 28 atau lebih kerusi.

Kuasa kini terletak pada Parti Liberal Sosial Demokratik (Sodelpa), pimpinan Viliame Gavoka yang memenangi tiga kerusi dan sekali gus menjadi penentu.

Lewat Selasa, pengerusi jawatankuasa rundingan Sodelpa, Anare Jale, mengumumkan parti itu telah memilih Rabuka dan gabungannya.

“Ia bukanlah satu keputusan yang mudah. Kami mengambil masa dua hari untuk membuat keputusan…,” katanya.

Berdasarkan satu undian rahsia yang dijalankan, 16 mengundi untuk menyertai gabungan itu manakala 14 lagi memilih bersama Bainimarama, kata Ahli Parlimen Sodelpa Ro Teimumu Kepa.

Keputusan itu menamatkan pemerintahan Bainimarama, kini ketua tentera Fiji yang menerajui pemerintahan negara itu dalam rampasan kuasa pada 2006.

Beliau membenarkan pilihan raya umum selepas lapan tahun berkuasa dan memperoleh kemenangan besar pada 2014.

Rabuka, perdana menteri baharu Fiji, seorang kolonel tentera pada 1987 apabila beliau melancarkan dua rampasan kuasa tentera terhadap kerajaan yang dipilih. Beliau terus berkuasa untuk sebahagian besar tahun 1990-an. – Bernama, 21 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen