PIHAK berkuasa Fiji merampas kapal layar bernilai AS$300 juta milik oligarki Russia Suleiman Kerimov selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat meminta kapal itu ditahan kerana melanggar sekatan dan didakwa ada kaitan rasuah, kata jabatan itu pada Khamis.
Kapal Amadea yang berusia lima tahun, sepanjang 106 meter itu berlabuh di Lautoka, Fiji di Pasifik Selatan apabila pihak berkuasa tempatan merampasnya berdasarkan waran AS dan permintaan Jabatan Kehakiman.
“Amadea boleh dirampas berdasarkan kemungkinan melanggar undang-undang AS, termasuk Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa, pengubahan wang haram dan konspirasi,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Kerimov antara anggota kumpulan oligarki Russia “yang mengaut keuntungan daripada kerajaan Russia melalui rasuah dan aktiviti kotor di seluruh dunia, termasuk penaklukan Crimea,” katanya.
AS mengenakan sekatan ke atas oligarki Russia yang rapat dengan Presiden Vladimir Putin sebagai sebahagian tindak balas ekonomi susukan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Kerimov, yang memperoleh kekayaan sebagai pemilik bersama syarikat tenaga dan kewangan Russia termasuk Gazprom dan Sberbank, juga seorang pegawai rasmi kerajaan Russia dan ahli Penasihat Persekutuan Russia, katanya.
“Tiada tempat persembunyian bagi aset penjenayah yang menyokong rejim Russia,” kata Peguam Negara AS Merrick Garland dalam satu kenyataan.
Timbalan Peguam Negara Lisa Monaco berkata, jabatan itu memantau “setiap kapal layar yang dibeli dengan wang kotor.”
“Rampasan kapal layar ini sebagai satu peringatan kepada setiap oligarki Russia yang korup mereka tidak boleh bersembunyi walaupun di bahagian paling terpencil di dunia,” katanya.
Sebuah syarikat yang berdaftar sebagai pemilik Amadea, Millemarin Investment, memohon di Mahkamah Tinggi Fiji minggu ini untuk menghalang penyitaannya di bawah waran AS, sementara menunggu rayuan terhadap tindakan itu.
Pengarah pendakwaan awam Fiji berkata, mahkamah akan memutuskan permohonan syarikat itu menjelang Jumaat.
Amadea bernilai AS$325 juta dan mempunyai antaranya kolam renang, jakuzi dan helipad, menurut laman web superyachtfan.com, yang menjejaki kapal orang kaya. – AFP, 6 Mei, 2022.
Komen