Fiji kerah tentera ke Kepulauan Solomon ketika kelaparan memuncak


Seorang lelaki menyembur mesej di sebuah bangunan di Honiara ketika ibu negara yang tegang kembali pulih selepas rusuhan dahsyat berhari-hari yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut, selain sebahagian besar bandar itu menjadi kacau bilau. – Gambar AFP, 29 November, 2021.

FIJI pada Isnin menyertai pasukan pengaman antarabangsa yang mengawal ketegangan di Kepulauan Solomon yang dilanda rusuhan, ketika Palang Merah memberi amaran tentang kekurangan makanan di ibu negara kepulauan tersebut.

Perdana Menteri Frank Bainimarama mengerahkan 50 askar Fiji untuk menjaga ketenteraman susulan protes antikerajaan yang membawa maut, menjadikan bilangan pasukan pengaman kepada kira-kira 200 ketika ini, kebanyakannya warga Australia dengan sumbangan sekurang-kurangnya 34 orang dari Papua New Guinea.

Bainimarama berkata 120 lagi tentera bersiap sedia jika keadaan keselamatan semakin merosot di Honiara, di mana pembersihan besar-besaran sedang dijalankan selepas pergolakan yang meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa.

“Saya juga ingin ambil masa ini untuk sampaikan doa saya kepada saudara dan saudari kita di Kepulauan Solomon atas masalah yang mereka alami sekarang,” kata pemimpin Fiji itu.

Krisis Kepulauan Solomons meletus pada Rabu minggu lepas apabila bantahan terhadap dasar kerajaan bertukar menjadi ganas, didorong oleh kemiskinan, pengangguran dan persaingan antara pulau di negara yang mempunyai 800,000 penduduk itu.

Selepas cuba menyerbu Parlimen, perusuh mengamuk selama tiga hari, menyebabkan sebahagian besar kawasan Chinatown menjadi teruk selain ada yang cuba membakar rumah Perdana Menteri Manasseh Sogavare.

Ketenangan dipulihkan selepas tentera Australia dan polis bergegas ke Honiara atas rayuan Sogavare kepada Canberra untuk mendapatkan bantuan. – AFP, 29 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen